Descargar la aplicación
47.05% Memori Mardhiyah / Chapter 8: Bab 6

Capítulo 8: Bab 6

Safiyah bertemu dengan mimpi indahnya lagi. Kedua kaki bermain-main di atas permukaan air sungai. Arus air kecil menari-nari di sekeliling tubuhnya bersama jari telunjuk yang digerak-gerakkan. Wajahnya menggambarkan ketenangan dan kegembiraan. Secara tiba-tiba, hujan membasahi alam mimpi Safiyah untuk yang pertama kalinya.

"Hujan?"

Safiyah membentangkan kedua tangannya. Secara perlahan-lahan kedua mata dipejam, menghayati titisan-titisan hujan yang dingin namun menenangkan jiwa. Seketika, wanita itu hanyut dengan cara itu di alam mimpinya. Melupakan segala kedukaan di alam nyata. Menghapuskan segala luka yang menghantui segenap jiwa.

"Hujan yang menenangkan, umpama tangisan yang membasuh luka yang menyakitkan."

Dring!!! Dring!!!

***

Safiyah membuka kedua matanya secara mengejut usai telefon pintarnya itu berbunyi. Wajahnya diusap berulang kali sambil membangkitkan tubuhnya. Telefon pintar digapai, skrin telefon dipandang seketika.

"Director Azwan Calling…"

Ting!

"Hello… Safiyah?"

Safiyah mendiamkan diri seketika, lena masih membuai tubuhnya.

"Safiyah!"

"Hah! Siapa?"

"Ai, ni director kau. Kenapa kau tak masuk kerja hari ni?"

"Kerja?"

Safiyah memandang tingkap biliknya. Cahaya matahari samar-samar kelihatan daripada langsir yang menutup tingkap bilik tersebut.

"Erm… sekarang jam berapa director?"

"10 pagi!"

"Hah! Maaf director… saya terlajak tidur."

"Cepat! Kita ada meeting."

"Meeting?"

"Cepatlah!"

"Okey… okey… saya ke sana sekarang."

Ting!

Dengan penuh cemas, Safiyah mencapai tuala bergerak membersihkan dirinya.

Safiyah tiba di rumah Sakit Jiwa Rembulan Kasih dengan menaiki Grab. Dia tergamam seketika di hadapan rumah sakit itu. Terlihat, kereta-kereta mewah berwarna hitam memenuhi kawasan letak kereta. Di luar rumah sakit itu juga, terlihat beberapa puluh orang pengawal peribadi memakai suit hitam sedang berjaga.

"Menteri ke yang datang ni?" soalnya.

Safiyah bergegas masuk ke dalam rumah sakit itu. Usai pintu terbuka, seorang doktor lelaki bergerak menghampirinya.

"Safiyah…"

Safiyah menoleh.

"Dr. Lee… siapa yang datang?"

"Tak tahu. Orang tu nak jumpa kau. Tu…" Dr. Lee mengarahkan jari telunjuknya ke arah bilik perbincangan yang terletak tidak jauh daripada pintu masuk tersebut.

Di hadapan pintu bilik itu, dua orang pengawal peribadi sedang berjaga. Safiyah menghampiri bilik tersebut. Usai pintu bilik di buka, terlihat Rai dan Tasya sedang duduk berhadapan dengan Dr. Azwan dengan sebuah meja panjang yang memisahkan mereka. Di samping Dr. Azwan pula, Puan Yanti - seorang wanita berumur awal 50-an sedang tersenyum kecil memandang Safiyah.

"Safiyah…" Puan Yanti menyapa.

Safiyah berlari anak menghampiri Puan Yanti. Seketika, dia memeluk tubuh Puan Yanti seakan melepaskan rindu.

"Mak Su … mak Su sihat?"

Puan Yanti mengangguk bersama senyuman kecil.

"Duduk dulu Safiyah. Ada tetamu lain ni." arah Dr. Azwan.

Safiyah menoleh ke arah Rai. Seketika, kedua mata mereka berdua saling berbalas lalu jelingan tajam pun dilemparkan oleh Safiyah. Rai membalas salam Safiyah itu dengan sengihan kecil.

"Apa mimpi dia nak datang sini?" Safiyah bergerak duduk di samping Tasya. "Tasya, asal kau tak kejut aku…" bisiknya pula.

Tasya mengerutkan dahi.

"Kau kata kau off la rabu ni."

"Bila masa aku kata?"

"Tadi lah, masa aku kejut kau." jawab Tasya.

5 pagi. Tasya bergerak mengejutkan Safiyah yang sedang asyik dibuai mimpinya itu.

"Fiy… dah jam 5 ni."

Safiyah menarik selimut untuk menutup wajahnya.

"Fiy… bangunlah. Dah jam 5."

"Mmm… aku tak kerja la hari ni. Hari ni aku off."

"Kenapa pula kau tiba-tiba cuti ni?"

"Malas."

"Malas? Erm… ya lah." Tasya bergerak mencapai tualanya.

Safiyah membesarkan kedua matanya. Peristiwa itu hampir terpadam dalam memori kerana terkesan dengan mimpinya yang indah pada pagi tersebut.

"Haah la."

"Kan… aku dah kata." Tasya tersenyum sinis.

"Ehem…" Dr. Azwan melepaskan batuk kecil, menarik perhatian tetamu-tetamu yang ada di ruangan itu. "Kita teruskan dengan tujuan Tuan Rayyan datang ke sini. Boleh Tuan Rayyan?"

"Tuan? Kenapa pula nama dia tiba-tiba ada Tuan?" Safiyah mengerutkan dahi.

"Jangan buat yang bukan-bukan Fiy…" Tasya memegang tangan Safiyah. Memujuk lembut sahabatnya itu agar tidak memulakan sebarang pertengkaran.

Rai mengangguk bersama senyuman kecil.

"Sebenarnya… saya datang ni nak bantu director dan Puan Yanti untuk memulihkan memori Mardhiyah. Mardhiyah ni dulu, kawan sekelas saya masa zaman sekolah. Dia dulu pernah bantu saya dalam beberapa urusan penting. So, anggap sajalah pertolongan saya ni atas dasar membalas budi."

Bila masa pula Mardhiyah tolong dia? gumam hati Safiyah.

Dr. Azwan mengangguk-angguk.

"Saya dan Puan Yanti kira beruntung la nampaknya. Seorang usahawan yang terkenal macam Tuan Rayyan sudi membantu kami. Sebenarnya, masalah Mardhiyah ni menjadi misteri juga buat kami. Kan Puan Yanti?"

Wajah Puan Yanti berubah sayu.

"Saya sendiri pun sebenarnya tertanya-tanya bagaimana Mardhiyah boleh berubah jauh macam ni. Dulu, masa dekat Australia… dia sangat gembira menjalankan perniagaan dia dengan Alyne, teman seperjuangan dia juga… anak angkat saya. Dia pulang ke sini untuk melunaskan janji dia dengan Safiyah, tapi… secara tiba-tiba dia mula lupa ingatan dan akhirnya, dia mendapat gangguan jiwa." kedua mata Puan Yanti mula berkaca.

"Berdasarkan penelitian kami, Mardhiyah mempunyai pengalaman pahit bersama dengan ayah dia di masa lalu. Sebelum dia berhijrah ke Australia dengan Puan Yanti, dia mengalami penderaan daripada ayah dia sendiri. Ada kemungkinan, memori penderaan ayah dia tu kembali menghantui Mardhiyah setelah dia pulang semula ke Malaysia. Itu yang membuatkan dia trauma dan akhirnya… dia berubah macam ni." jelas Dr. Azwan.

"Erm… Puan Yanti… tak tahu yang ayah dia ni dera Mardhiyah sejak kecil dulu?" soal Tasya.

Puan Yanti menggelengkan kepala.

"Sembilan tahun yang lalu, saya pulang dari Australia sebab nak lawat Mardhiyah. Saya tak ada anak, saya dah anggap Mardhiyah tu macam anak saya sendiri lepas ibu dia meninggal dunia. Tapi masa saya jumpa dia, dia luahkan segala masalah dia dekat saya untuk yang pertama kalinya. Saya dah tak pikir banyak, saya terus bawa dia lari petang tu. Saya… takut dengan bapa dia."

"Siapa ayah dia?" soal Rai.

"Datuk Ameer, pengarah Syarikat Amorba." jawab Dr. Azwan.

Rai dan Tasya dibuai kejutan. Dia tidak menyangka insan yang dikatakan Tasya kepadanya sebelum ini itu adalah Datuk Ameer. Nama itu sangat terkenal dalam perniagaan gelap di Malaysia. Seorang datuk yang mempunyai kes-kes gelap yang tersembunyi daripada pengetahuan umum.

"Patutpun…" balas Rai.

"Memang… apa kuasa bapa dia tu?" soal Safiyah.

"Datuk Ameer tu bukan orang yang boleh dibuat main. Dia ada kumpulan-kumpulan dia sendiri dan mendapat sokongan daripada organisasi gelap luar negara untuk menjalankan perniagaan haram. Bukan senang nak lawan orang-orang yang berharta dan berpengaruh ni. Kalau lawan dengan dia orang, pasti ada nyawa yang terkorban." Rai menghela nafasnya.

"Susah macam tu?" Safiyah memuncungkan bibirnya.

"Yang jadi masalah lagi ni Tuan Rayyan, dia dah tahu yang anak dia ada dekat sini." jelas Dr. Azwan.

Puan Yanti berubah cemas. Mindanya mula membayangkan perkara-perkara yang tidak baik yang bakal Datuk Ameer lakukan.

"Jangan risau… saya akan hantar beberapa pengawal peribadi saya untuk memerhatikan kawasan rumah sakit ni. Cuma… saya tak tahu sampai bila saya boleh tahan dia daripada mendapatkan Mardhiyah." Rai cuba menenangkan suasana yang semakin mencemaskan itu.

"Jika kita… mampu memulihkan ingatan Mardhiyah semula, kita boleh membuatkan ayah dia masuk ke dalam penjara." jelas Dr. Azwan lagi.

"Jika… memori dia pulih kembali. Kalau tak?" Rai mempersoalkan.

Ruangan berubah sepi apabila suatu persoalan hebat mulai tercipta dengan kata-kata Rai itu. Persoalan, bagaimana untuk memastikan memori Mardhiyah pulih semula.

"Sebelum itu, boleh Puan Yanti jelaskan lebih terperinci bagaimana keadaan Mardhiyah sewaktu berada di Australia?" Tasya menyoal kembali.

Puan Yanti menganggukkan kepala.

"Sejak pertama kali dia menginjakkan kaki di negara orang, dia dah berniat untuk membuka lembaran baru dalam hidup dia. Alyne, anak angkat saya. Itulah yang menjadi pengubat rindu Mardhiyah kepada Safiyah dekat sana. Sejak kali pertama mereka berjumpa mereka dah mula menjadi kawan rapat, mendapatkan kuliah sama-sama dan menjalankan perniagaan sama-sama. Dia hidup dekat sana macam … dia tak ada masalah dengan ayah dia dekat sini. Dalam masa sembilan tahun, saya rasa… dia berjaya melupakan kenangan pahit dia dengan ayah dia dekat sini."

"Erm… Puan Yanti tak ada detail lebih yang dalam tentang Mardhiyah? Mungkin kekasih dia… atau musuh-musuh dia dekat sana?" soal Tasya.

"Mardhiyah tak ada musuh. Dia orang yang sangat pendiam dan kurang bergaul dengan orang lain. Hanya saya dengan Alyne yang dia rapat sangat. Kekasih hati pun dia tak ada. Itu aje lah yang saya boleh katakan. Lagipun… saya fokus menjaga…" Puan Yanti memutuskan bicaranya secara tiba-tiba. Kedua anak matanya membesar seakan merisaukan sesuatu.

"Menjaga?" soal Safiyah dan Tasya.

Puan Yanti menggeleng kecil.

"Saya fokus jaga rumah. Tapi setahu saya, Mardhiyah memang tak ada kawan lain selain Alyne."

Safiyah dan Tasya mengangguk-angguk.

"Alyne dekat mana sekarang puan?" Dr. Azwan menyoal.

"Alyne ada dekat Australia. Dia dah tahu tentang Mardhiyah cuma… dia tak dapat datang sini. Dia perlu uruskan perniagaan mereka berdua dekat sana."

Dr. Azwan menggelengkan kepala.

"Pelik lah. Sembilan tahun… tak kan Mardhiyah tak cari…"

Tak!

Dalam kerdipan kedua mata Safiyah yang berlaku sangat pantas. Dia memejamkan kedua mata lalu apabila kedua mata itu terbuka semula, sekelip mata dia sudahpun berubah tempat ke sebuah ruangan bilik yang besar dengan warnanya yang serba biru.

Safiyah dibuai kejutan jiwa apabila dirinya yang sedang duduk bersebelahan dengan Tasya sebelum ini sudahpun berubah. Dia kini sedang duduk berhadapan dengan Rai ditengah ruangan bilik itu dengan sebuah meja kecil yang memisahkan mereka berdua.

Wajahnya berubah cemas. Kedua anak matanya di liarkan ke arah sekeliling. Tasya, Puan Yanti dan Dr. Azwan menghilang daripada pandangan. Yang tersisa hanyalah dirinya dan Rai. Fikiran menjadi beku.

"Tahniah, otak kau berjaya melihat Alafun Ain." Rai tersenyum kecil.

Safiyah kembali tersedar sambil menggelengkan kepalanya. Persoalan menguasai segenap minda, dirinya berhalusinasi, delusi ataupun berpindah tempat. Ruangan bilik perbincangan kini berubah sekelip mata menjadi ruangan bilik yang baru dengan warnanya yang serba biru. Sekelip mata juga, kedudukan tubuhnya berubah seakan dia berpindah ke dimensi yang berbeza bersama dengan Rai.


Load failed, please RETRY

Estado de energía semanal

Rank -- Ranking de Poder
Stone -- Piedra de Poder

Desbloqueo caps por lotes

Tabla de contenidos

Opciones de visualización

Fondo

Fuente

Tamaño

Gestión de comentarios de capítulos

Escribe una reseña Estado de lectura: C8
No se puede publicar. Por favor, inténtelo de nuevo
  • Calidad de escritura
  • Estabilidad de las actualizaciones
  • Desarrollo de la Historia
  • Diseño de Personajes
  • Antecedentes del mundo

La puntuación total 0.0

¡Reseña publicada con éxito! Leer más reseñas
Votar con Piedra de Poder
Rank NO.-- Clasificación PS
Stone -- Piedra de Poder
Denunciar contenido inapropiado
sugerencia de error

Reportar abuso

Comentarios de párrafo

Iniciar sesión