Keesokan harinya, Aubree kembali bekerja di kediaman Putera Kilan dengan wajah selamba, seakan-akan apa yang berlaku semalam tiada kena-mengena dengan Aubree.
Tanpa Aubree sedari, pada pagi itu kediaman Putera Kilan agak kecoh dengan arahan baru dari Kilan untuk menyuruh semua Tentera Elf untuk mencari wanita misteri yang sudah menolong mereka.
Kilan meminta pertolongan dari Angela untuk membantu mereka mencari wanita misteri itu tapi Angela menolak mentah-mentah, memberi alasan yang Angela tidak suka dengan wanita misteri itu dan merasa ada yang tidak kena dengan wanita tersebut.
Kerana penolakan dari Angela itu membuatkan Kilan agak kecewa dengan sikap Angela. Kilan merasa Angela tidak memahami tujuan Kilan hendak mencari wanita misteri itu. Tujuan Kilan adalah mahu menjadikan wanita itu salah seorang dari pahlawan mereka yang akan menolong untuk berperang dengan Raja Kegelapan di masa akan datang.
Jake menolong Kilan untuk menyiarkan banyak poster untuk memberi tahu kepada rakyat jika ada sesiapa yang pernah melihat wanita misteri itu, mereka harus segera melapor kepada Putera Kilan. Bukan di Kerajaan Barat saja, bahkan di tiga buah kerajaan lain juga diberikan maklumat ini.
Dalam masa sehari saja, wanita misteri yang ingin dicari ini menjadi terkenal di seluruh kerajaan hanya. Sebahagian dari rakyat menganggap jika wanita misteri ini telah melakukan kesalahan berat sehingga dia dicari oleh keluarga diraja. Sebahagian dari mereka pula menganggap jika wanita misteri ini mungkin adalah seorang anak perempuan dari keluarga terkenal dan telah hilang.
Manakala si 'wanita misteri' yang sedang dicari oleh semua Elf saat ini sedang duduk mencangkung di tepi sungai sambil tangannya lincah mencuci pakaian.
Kenapa seorang pembantu Putera Kilan berada di sungai ini dan mencuci pakaian?
Jawapannya adalah kerana arahan dari Puteri Katy untuk menyuruh Aubree untuk mencuci pakaian di tepi sungai.
Semua pembantu Elf tahu jika mencuci pakaian adalah pekerjaan yang paling berat diantara semua pekerjaan rumah di kediaman Putera Kilan kerana mereka terpaksa berjalan kaki pergi ke kawasan sungai untuk mencuci pakaian.
Tentu saja mereka boleh menggunakan telaga untuk mencuci pakaian namun kerana Puteri Katy mahukan Aubree merasa lebih sengsara, dia menyuruh ketua pembantu rumah untuk menyuruh Aubree mencuci pakaian di sungai.
Beberapa orang pembantu rumah sedang duduk di bawah pokok tepi sungai sambil berehat. Mereka memandang ke arah Aubree yang sedang mencuci sekali-sekala dan akan ketawa setiap kali melihat keadaan Aubree.
Semua Elf tahu kenapa Aubree dihukum seperti ini oleh Puteri Katy. Hal ini kerana berkenaan dengan gosip yang tersebar di seluruh kawasan kediaman Putera Kilan.
Puteri Katy ialah calon isteri kepada Putera Kilan dan tentu saja dia marah bila dia mengetahui jika ada seorang pembantu rumah yang menyimpan rasa terhadap Putera Ketiga itu. Puteri Katy menjadi lebih marah bila pembantu yang sama menyukai seorang Putera dari Kerajaan lain dan merupakan sahabat kepada Kilan.
'Pembantu Elf yang hodoh dan tidak sedar diri! Dia ingat dia boleh berkahwin dengan anak raja dan mengubah hidup dia dari seorang yang miskin ke kaya? Jangan harap!' Itulah yang difikirkan oleh Puteri Katy.
Sebahagian dari fikiran negatif Puteri Katy ini juga telah dipengaruhi oleh Ahli Sihir Angela memandangkan Angela menyimpan perasaan terhadap Putera Issac.
Dua orang wanita Elf ini tidak dapat menerima jika seorang wanita Elf yang hanya sekadar bekerja sebagai pembantu rumah, berani menyimpan perasaan terhadap dua orang Putera Kerajaan. Jadi, mereka harus menghapuskan 'ulat yang gatal' sangat ini supaya tidak mengganggu lelaki yang mereka sayangi.
Aubree tidak melawan saat dia disuruh untuk membasuh pakaian di tepi sungai. Dia malah berfikir jika pekerjaan ini memberi manfaat kepadanya kerana Aubree dapat melatih ototnya.
Aubree menyiapkan lima buah bakul pakaian yang besar dalam masa sejam saja. Setelah dia siap, Aubree berhenti sekejap sambil menyeka peluh yang mengalir di dahinya.
Beberapa orang pembantu Elf yang lain termangu-mangu melihat Aubree sudah siap membasuh pakaian dalam masa yang singkat. Mereka tidak percaya jika Aubree menyelesaikan pekerjaan ini hanya dalam satu jam sedangkan selalunya, lima buah bakul pakaian memerlukan masa tiga jam untuk tiga orang pembantu Elf membasuh kesemuanya.
Kenapa mereka lambat hendak mencuci pakaian, ini kerana para pembantu Elf sempat lagi bercerita dan berehat ketika mereka membasuh pakaian, sebab itu kenapa mereka lambat siap.
Melihat Aubree sudah siap membasuh, para pembantu Elf itu tidak merasa puas hati. Mereka tidak melihat pun Aubree merasa kesusahan sepanjang masa dia membasuh pakaian. Malah, pembantu yang satu ini hanya tenang dan bersemangat saja semasa bekerja.
Kerana mereka tidak mahu Aubree siap dengan cepat, mereka merancang untuk melakukan sesuatu agar Aubree mengalami kesusahan.
Kumpulan para pembantu Elf ini segera mendekati Aubree yang masih ada di tepi sungai.
Aubree yang sedang memindahkan sehelai kain ke dalam bakul pakaian menoleh ke arah kumpulan pembantu Elf itu. 'Apa lagi yang mereka nak buat kalau datang ke sini? Sejak dari tadi bukan nak tolong saya! Tahu mengejek saya adalah!'
"Kenapa? Apa yang tidak kena?" tanya Aubree dengan wajah tenang. Meskipun wajahnya berpeluh kerana kuat bekerja, raut wajah Aubree yang cantik dan berseri itu masih terserlah.
Pembantu Elf yang paling depan yang bernama Ricka, memandang Aubree dengan wajah bongkak. Melihat keadaan Aubree yang masih nampak cantik walaupun berpeluh kuat membuatkan Ricka mencebik dalam hati kerana meluat. Dia cemburu melihat bagaimana Aubree masih dapat mengekalkan kecantikannya walaupun berpeluh.
Kerana dia tidak dapat mencari kesalahan Aubree terhadap dirinya, Ricka mengalihkan pandangannya ke pakaian yang sudah dibasuh dan diletakkan di dalam bakul pakaian. Ricka mengambil sehelai pakaian yang paling atas dan mengangkat pakaian itu tinggi ke udara.
"Lihat ini! Pakaian ini masih belum bersih! Masih ada kesan hitam di sini! Cuci lagi! Pastikan sampai bersih, jangan sampai kesan hitam itu masih ada! Kau tahu yang Yang Mulia Putera Kilan sangat mementingkan kebersihan!" tempelak Ricka sambil melontar pakaian itu ke wajah Aubree.
Aubree menutup matanya, mengelak pakaian itu mengenai matanya. Tangannya dengan tangkas menangkap pakaian itu daripada terjatuh ke atas tanah lagi.
"Macam mana kau kerja ni? Cuci pakaian pun kau tidak mampu! Kalau beginilah kau bekerja di sini, jangan tinggal di sini lagi! Pergi kau dari sini!" teriak perempuan yang berdiri di belakang Ricka.
Perempuan yang di sebelah dia lagi menyambung, "Kau jangan nak berangan kalau kau boleh mengorat Putera Kerajaan itu dan kau tidak perlu buat kerja berat ni lagi! Heh, kau ingat dengan muka hodoh kau tu, Yang Mulia Putera Elf akan jatuh cinta dengan kau! Cermin muka tu dulu!"
Aubree tidak menjawab mereka, sebaliknya hanya memandang mereka dengan pandangan marah. Jari-jemari yang sedang memegang pakaian basah tadi digenggam dengan erat.
Ricka tersenyum sinis. Dia gembira mendengar cemuhan dari kawan-kawannya terhadap Aubree. Dia berjalan dua langkah ke depan, menutup jarak yang masih tinggal di antara Aubree dan Ricka. Ricka menunduk sedikit dan berbisik kepada Aubree, "Kau cuma pembantu biasa saja! Jangan mimpi nak mengorat Yang Mulia Putera Kilan dan Putera Issac. Kau tidak layak!"
Setelah itu, Ricka berundur lagi dengan wajahnya masih menunjukkan senyuman sinis. Dia terus menendang bakul pakaian yang ada di tepinya. Semua pakaian yang ada di dalam bakul itu tertumpah dan jatuh ke tanah, membuatkan semua pakaian itu menjadi kotor lagi.
"Hei, apa ni! Saya baru saja siap basuh semua pakaian dalam bakul ni!" teriak Aubree, terkejut.
'Ish, tak guna betullah perempuan ni! Kalau nak buli saya, janganlah kacau pakaian yang saya sudah cuci ni! Saya baru saja siap basuh semua. Isshh, tak adillah macam ni!'
Ricka dan kawan-kawannya ketawa mengejek dengan keadaan Aubree. Ricka terus menolak bahu Aubree. Aubree hanya terundur selangkah ke belakang memandangkan kekuatannya tinggi dari tenaga yang digunakan oleh Ricka untuk menolak bahunya.
"Itu masalah kau! Kau kena basuh semua ni lagi sehingga bersih, kalau kau tak nak dihentikan bekerja oleh Yang Mulia Putera Kilan," kata Ricka dengan selamba.
Ricka dan kawan-kawannya pun berpusing ke belakang. Mereka meninggalkan Aubree di sana sambil ketawa, mengejek keadaan Aubree.
Aubree mendengus kerana bengang. 'D*mn! Saya tidak boleh biarkan mereka terlepas begitu saja, saya kena balas balik apa yang mereka sudah lakukan!'
Aubree memandang ke arah pokok besar yang ada di depan Ricka dan kawan-kawannya. Dalam masa sesaat, anak mata Aubree berubah menjadi berwarna merah sebelum anak matanya kembali menjadi hitam.
Selepas itu, apa yang terjadi ialah dahan pokok yang paling besar pada pokok tadi tiba-tiba patah dan terus jatuh ke atas tanah, tepat di depan Ricka dan kawan-kawannya.
Ricka dan yang lain terus berteriak kerana terkejut.
Kerana takut dihempap dengan batang pokok itu, Ricka dan kawan-kawannya berundur beberapa langkah ke belakang tanpa disedari. Akibatnya, orang paling belakang tergelincir dan terus terjatuh ke dalam sungai.
Kerana dia tergelincir, perempuan Elf itu menarik kawan di sebelahnya untuk meminta sokongan. Malangnya, kawan yang ditarik itu juga ikut terjatuh dan kembali menarik kawan di sebelah.
Mereka saling tarik-menarik antara satu sama lain sehingga menyebabkan semua orang terjatuh ke dalam air dalam masa beberapa saat.
Aubree yang melihat keadaan malang mereka itu terus menutup mulut dan ketawa. 'Hahaha! Padan muka!'
Ricka dan kawan-kawannya tenggelam timbul di permukaan ais dan berteriak dengan kuat untuk meminta pertolongan.
Tiga orang dari mereka pandai berenang dan berjaya berenang ke tepi, tinggal sisa dua orang lagi Elf yang masih tenggelam dan dibawa arus sungai.
Suara teriakan Ricka dan kawannya yang seorang itu, menarik perhatian para pengawal yang sedang meronda. Ketika mendengar suara orang meminta tolong, mereka segera mencari dari mana sumber suara itu datang.
Melihat ada dua orang Elf hanyut dibawa arus sungai, dua orang pengawal Elf segera melompat ke dalam sungai untuk menolong mereka.
Aubree yang memandang dari jauh, tersenyum dengan puas sambil berpeluk tubuh. 'Walaupun mereka tidak mati, setidaknya saya dapat melampiaskan amarah saya! Hah, padan muka!'