Semua orang mula menyerang sedaya upaya selepas Zhang Yang memberi arahan untuk mulakan serangan.
'Ding! Anda telah terkena <Renungan Maut> (Tindanan 1). Semua kerosakan yang dialami meningkat 100%, berterusan selama 12 saat!'
Tidak lama selepas serangan mereka bermula, Zhang Yang telah menerima kesan serangan balas yang menyelubungi tubuhnya dengan gas gelap. Zhang Yang tidak pedulikannya tetapi Api Merah mengalami panik dalaman sambil berfikir, 'Bos ini memang ada serangan hebat. Penambahan tindanan serangan balas ini akan membunuh Zhang Yang serta-merta dengan satu pukulan!'
Namun, kebimbangannya ternyata tidak perlu! Zhang Yang berkali-kali mengelak dan menyerang tanpa nampak panik langsung sambil dia bergerak lincah dalam mengelak dari serangan teruk bos itu. Keadaan itu membuatkan semua yang melihat menyangka dia seperti sedang berjalan-jalan di taman!
'Tolonglah, ini bos Mod Sukar!' Jerit Api Merah dalam hatinya. Persatuannya sendiri telah menubuhkan kononnya
'Bagaimana dia boleh mengelak serangan bos itu dengan sangat mudah?' Api Merah tidak dapat memahaminya langsung apabila dia melihat Zhang Yang seperti tidak kehabisan tenaga – mengelak ke kanan dan mengelak ke kiri dengan sangat bersahaja! 'Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan dua tanker persatuannya teruk digasak oleh bos walaupun mereka telah mencuba sehabis mungkin?'
"Seperti yang dijangka, abang yang pakar!" kata Kematian Bersalji dengan penuh kebanggaan pada wajahnya, seperti dia dan bukan Zhang Yang yang bertarung dengan bos ketika ini.
Api Merah terus menyerang bos itu tanpa henti sambil melihat Zhang Yang dengan penuh semangat dan keinginan untuk memasukkan Zhang Yang ke dalam persatuannya terus membara!
Gaya mudah yang Zhang Yang tunjukkan dalam mengelak serangan bos itu sebenarnya telah terbina daripada 5 tahun pengalaman bermain permainan video meta ini! Setiap kali raksasa itu membuat apa-apa pergerakan, Zhang Yang akan mengambil nota dari mana serangan seterusnya akan datang dan dia akan mengelak dengan bersesuaian terlebih dahulu berdasarkan naluri hatinya. Ini semua hasil pengalaman dan pengetahuan dalam bermain permainan meta!
Tiba-tiba, Cakar Hitam menghentikan serangan dan memusingkan badannya. Dengan 'ptui', ia kemudian meludahkan ludah hitam ke arah Sami Ingkar.
Teks kerosakan merah dengan '-300' serta-merta terapung di atas kepala Sami Ingkar. Nasib baik HP cukup tinggi untuk menghadapi serangan itu. Selepas 300 mata kerosakan itu ditolak, dia masih ada 40 HP. Dengan beberapa penyembuhan daripada kedua-dua Kesedihan Lautan dan Salji Lembut, pasukan itu kembali kepada momentum serangan asal mereka.
Sebenarnya, tahap kesukaran utama bos ini bergantung kepada tanker!
Disebabkan <Renungan Maut>, pasukan selalunya akan mempunyai dua tanker. Kedua-dua tanker ini akan menyelaraskan aggro untuk mengelakkan kematian tanker yang berpunca daripada tindanan <Renungan Maut> melampau kepada salah satunya. Apabila salah satu daripada mereka mati, tanker yang lagi satu tentu akan mengalami nasib yang sama – kecuali kalau pasukan itu cukup kuat untuk menewaskan bos itu sebelum mana-mana tanker mati.
Namun, Zhang Yang satu pengecualian! Dengan pengalamannya dalam bermain permainan video meta, mengelak serangan ganas bos itu sesuatu yang mudah – langsung tidak menghabiskan tenaganya! Dia telah menjangka walaupun bos itu daripada Mod Sangat Sukar, dia masih boleh beraksi dengan kadar pengelakan 90% dan ke atas!
Memandangkan dia telah selesaikan isu kematian tanker, berhadapan dengan bos ini memang sesuatu yang mudah!
90%, 80%, 70%, ...10%!
HP Cakar Hitam semakin berkurangan dan habis serta-merta. Dengan <Hentakan Perisai> terakhir daripada Zhang Yang, Cakar Hitam mengeluarkan bunyi ngauman yang kuat, jatuh, dan menggugurkan alat kelengkapan dan syiling emas ke tanah.
"Dah selesai?" Api Merah ingatkan dia bermimpi. Bos ini dengan mudah ditewas oleh pasukan ini dengan hanya satu cubaan sedangkan persatuannya telah mengambil masa beberapa jam untuk kalahkan?
Dia rasa berbelah bahagi! Sebahagian dirinya mahu Zhang Yang membunuh bos itu untuk membuktikan kelayakan untuk dimasukkan ke dalam persatuannya; tetapi sebahagian dirinya tidak mahu pertarungan ini berakhir secepat ini kerana ini hanya akan membuktikan betapa lemahnya pasukan peneroka elit dungeon persatuannya…
"Macam mana? Aku dah cakap tadi abang pakar kita ni hebat!" Disebabkan kedua-duanya Perompak, Kematian Bersalji berasa rapat dengan Api Merah dan dia menepuk-nepuk bahunya dengan wajah penuh bangga. Api Merah tidak dapat lari daripada menyumpahnya dalam hati kerana Kematian Bersalji begitu bangga dengan pencapaian Zhang Yang itu seperti itu pencapaiannya sendiri.
"Yang Kecil, aku 'Tangan Bertuah', bagilah aku pegang bangkai tu!" kata Han Gemuk sambil dia terus berjalan menuju bangkai itu untuk mendapatkan hasil rampasan.
Menurut pernyataan rasmi 'Keajaiban Tuhan', hasil rampasan daripada raksasa ditentukan oleh pemain yang membuat serangan terakhir. Tetapi, ramai pemain yang masih percaya kepercayaan karut dan memilih untuk percaya yang hasil rampasan bergantung kepada tuah pemain yang menyentuh bangkai, maka lahirlah istilah Tangan Bertuah dan Tangan Malang.
Han Gemuk menyentuh bangkai itu dan tetingkap Balingan Dadu untuk 3 alat kelengkapan itu tiba-tiba muncul di hadapan semua.
[Penumbuk Rage Cakar Hitam] (Besi Hitam, Sarung Tangan Penumbuk)
Serangan Senjata: 15 – 23
Sela masa Serangan: 1.9 saat
Keperluan Tahap: 10
Jika dibanding dengan sarung tangan penumbuk dalam Mod Normal, sarung tangan ini jelas mempunyai Serangan Senjata yang lebih tinggi walaupun kedua-duanya sama!
Kedua-dua Perompak memilih untuk membaling dadu sementara yang lain-lain menolak untuk membaling dadu. Walaupun Zhang Yang dan Hari Bayangan boleh melengkapkan diri mereka dengan sarung tangan penumbuk itu, salah seorang mereka telahpun mempunyai senjata Besi Hitam Tahap 10 manakala seorang lagi lebih suka senjata dua belah tangan yang menyebabkan kedua-duanya menolak untuk membaling dadu bersama Perompak itu. Akhirnya, Kematian Bersalji mendapat 87 mata, menang, dan memperolehi sarung tangan penumbuk itu bila dibanding dengan 82 mata Api Merah.
Kematian Bersalji terus menukar senjatanya yang sedia ada dengan senjata yang baru diperolehinya dan menunjuk-nunjuk pada Api Merah. Pemain yang bukan dari Syurga yang Hilang berasa mereka sangat rapat dengan Zhang Yang dan secara tidak sedar telah menyisihkan pemain dari persatuan itu kerana mereka berasa yang pemain Syurga yang Hilang hanya menyertai pasukan ini untuk memudahkan kerja mereka.
[Topi Keledar Berupa Anjing] (Besi Hitam, Perisai Berat)
Pertahanan: +3
Vitality: +6
Kekuatan: +3
Ketangkasan: +1
Keperluan Tahap: 10
Kedua-dua kelas Kesatria dan Pahlawan boleh memakai perisai berat, tetapi Kesedihan Lautan seorang penyembuh dan topi keledar itu mempunyai atribut serangan fizikal, jadi dia sendiri menolak untuk membaling dadu.
Zhang Yang, 47 mata.
Hari Bayangan, 33 mata.
"Ugh! Tangan Malang!" Hari Bayangan menggeleng kepalanya dalam kekecewaan.
Zhang Yang memakai topi keledar itu dan keseluruhan wajahnya tersembunyi di belakang rupa anjing. Sekali pandang dia memang nampak seperti anjing yang sedang berdiri!
Semua orang tertawa apabila melihatnya.
"Yang Kecil! Wah! Kau sangat kacak sekarang!" gurau Han Gemuk.
Nasib baik permainan video ini ada pilihan untuk menyembunyikan topi keledar itu dan Zhang Yang serta-merta memilih pilihan itu. Topi keledar berupa anjing itu kemudian hilang, tetapi pasukan itu masih tersenyum sinis setiap kali mereka memandang wajah Zhang Yang.
[But Berat Berkilat] (Besi Hitam, Perisai Berat)
Pertahanan: +3
Vitality: +5
Kepintaran: +4
Semangat: +1
Keperluan Tahap: 10
Ini jelas memang alat kelengkapan Pahlawan Suci, jadi semua menolak untuk membaling dadu tanpa ragu-ragu untuk memberi laluan bagi Kesedihan Lautan mendapatkannya.
'Ding! Anda telah menerima 1 syiling perak dan 30 syiling tembaga dalam pengagihan!'
Wang kemudian dikumpulkan selepas pengagihan alat kelengkapan. Bos ini memang kedekut, hanya 13 syiling perak yang digugurkan.
Pengawalan matawang dalam 'Keajaiban Tuhan' agak ketat. Inflasi matawang tidak pernah menjadi masalah walaupun di kemudian hari dalam pembangunan permainan video ini.
"Mari kita lihat statistik kerosakan!" kata Hari Bayangan dengan semangat. Bagi kebanyakan pemain, serangan dungeon memberi dua kepuasan dalam hidup mereka: pertama, memperolehi alat kelengkapan; kedua, membandingkan kerosakan!
Apabila mereka memeriksa statistik, semua terkejut kebingungan.
[Statistik Kerosakan]
1. Zhan Yu, Jumlah Kerosakan 11,345, 21%
2. Si Kurus dan Kacak, Jumlah Kerosakan 8,647, 16%
3. Hari Bayangan, Jumlah Kerosakan 7,566, 14%
4. Api Merah, Jumlah Kerosakan 7,027, 13%
5. Seratus Tembakan, Jumlah Kerosakan 5,401, 10%
6. Kematian Bersalji, Jumlah Kerosakan 4,863, 9%
7. Sami Ingkar, Jumlah Kerosakan 4,861, 9%
8. Maharaja Api, Jumlah Kerosakan 4,328, 8%
"Zhan Yu! Kau ni sebenarnya Pelindung atau Pemusnah?" ujar Hari Bayangan. Dia sangat yakin yang dialah orang di kedudukan pertama dalam menyebabkan kerosakan, tetapi dia betul-betul tidak menyangka yang dia bukan sahaja tidak di kedudukan pertama, malah dia bukan di kedudukan kedua!
Han Gemuk serta-merta setuju dengannya, "Ya! Betul tu! Aku sepatutnya berada dalam kedudukan tertinggi!"
Budak gemuk ini telah menyelesaikan Cabaran Kelas Tersembunyi dan telah memperolehi <Tembakan Tepat>. Walaupun itu kemahiran dengan ganjaran markah yang 'Biasa', dia masih memiliki satu kemahiran dan PA tambahan berbanding rakan-rakannya. Kelebihan seperti itu memang menyerlah berbanding alat kelengkapan biasa orang lain.
Keinginan membara Api Merah jelas kelihatan dari matanya dan dia bertambah bersemangat untuk memasukkan orang berkebolehan ini! Matanya yang bercahaya itu menyamai mata duda yang dahagakan keintiman dan itu menakutkan Kematian Bersalji yang melihat. Dia kemudian menjauhkan diri dari lelaki itu memikirkan yang Api Merah mungkin mempunyai kecenderungan berbeza dalam beberapa aspek!
"Mari teruskan!" Zhang Yang menghayun pedangnya dan mengetuai pasukan.
Dia telah menunjukkan kewibawaan yang menyerlah dan tiada sesiapa yang menyangkalnya. Pasukan itu akhirnya sampai ke bos kedua selepas lebih kurang 10 minit menewaskan makhluk suruhan dengan mudah.
Jika dibanding dengan Mod Normal, bos ini mempunyai HP dan kerosakan yang lebih tinggi, serta <Sumpahan Air dan Api> yang menyebabkan kerosakan yang lebih teruk, dan syaitan boneka yang dipanggil juga lebih kuat. Namun, pasukan Zhang Yang pula telah mendapat 3 pemain elit dari Syurga yang Hilang dan itu telah meningkatkan kekuatan pertarungan mereka dengan banyak.
Jadi, Zhang Yang rasa dia tidak perlu memberi penerangan lanjut memandangkan kemahiran bos ini sama seperti sebelumnya. Mereka hanya perlu mengikut strategi yang sama seperti dalam Mod Normal.
Dengan arahan untuk memulakan serangan, Zhang Yang mengetuai pasukan dan bertarung dengan bos. Dalam masa 4 hingga 5 minit, bos kedua itu meraung sebelum ia mati dan menggugurkan alat kelengkapan yang bertaburan di atas tanah.
Selepas mengumpulkan hasil rampasan daripada bangkai itu, hanya ada 1 perisai kulit dan 2 perisai kain tanpa ada perisai berat di sekeliling. Ini menjengkelkan Hari Bayangan hingga dia memanggil Han Gemuk 'Tangan Malang' dan memaklumkan dia tidak lagi dibenarkan mengumpulkan hasil rampasan daripada bangkai lagi selepas ini.
Pasukan itu berbual keriangan. Selepas mereka mengagihkan alat kelengkapan, mereka meneruskan perjalanan dan membunuh bos terakhir setelah menewaskan gelombang makhluk suruhan.
Selepas mengalahkan Cakar Hitam, bos pertama, tiada sesiapa lagi yang mempunyai keraguan dalam menyelesaikan Mod Sukar! Zhang Yang memang hebat. Semua orang berasa dia hanya perlu membawa penyembuh…tidak, mungkin penyembuh pun tidak diperlukan kerana dia seorang sahaja boleh menyelesaikan keseluruhan Mod Sukar!
Cabaran mereka kini hanyalah Mod Sangat Sukar!
"Abang pakar, kita akan teruskan dengan Mod Sangat Sukar?" Kematian Bersalji memandang Zhang Yang dengan penuh harapan kerana dia bimbang Zhang Yang mungkin akan berkata tidak. Bukan dia sahaja memandangnya dengan penuh harapan, yang lain dalam pasukan itu juga turut sama.
Zhang Yang telah membuktikan kebolehan dirinya dan mungkin mampu menyelesaikan Mod Sangat Sukar! Bagi pemain permainan video seperti mereka, tiada kemenangan lain yang lebih indah selain daripada pengumuman pelayan yang berkali-kali mengisytiharkan nama mereka.
Membayangkan teks merah yang berjela-jela daripada pengumuman pelayan sudah cukup mengujakan sesiapa dengan keseronokan tidak terhingga!
Zhang Yang tertawa dan berkata, "Sudah tentu!"
Mendengar janjinya itu, ahli pasukan yang lain tersenyum gembira.
"Tetapi aku perlu katakan sesuatu dulu!" ujar Zhang Yang, "Aku memerlukan resepi Pertukangan yang akan digugurkan Momorermo, bos tersembunyi Mod Sangat Sukar. Jika ada apa-apa bantahan, katakan sekarang supaya kita tidak akan ada masalah nanti!"
"Abang pakar, aku tiada masalah walaupun kau nak semua alat kelengkapan yang digugurkan, inikan pula resepi!" kata Kematian Bersalji dengan semangatnya.
Teks merah daripada pengumuman pelayan! Itu lebih mengujakan daripada mana-mana alat kelengkapan!
"Tak ada masalah!" jawab yang lain-lain.
"Baik, mari teruskan dengan Mod Sangat Sukar!" Zhang Yang mengubahsuai tahap kesukaran dungeon dan berkata, "Ayuh!"
Mereka bersepuluh memasuki jalan masuk dungeon Makam Bangar satu persatu untuk kali ketiga.
'Ding! Anda telah memasuki Makam Bangar (Mod Sangat Sukar)!'
"Tsk tsk tsk, Mod Sangat Sukar. Pengumuman itu sahaja sudah cukup mengujakan!" Sami Ingkar tertawa dan berkata, "Adakah kita pasukan pertama memasuki Makam Bangar dalam Mod Sangat Sukar?"
"Betul rasanya!" ujar Kesedihan Lautan secara mengejut.
"Abang Zhan Yu, sejauh mana keyakinan kau dalam menyelesaikan Mod Sangat Sukar?" Harapan yang besar tersulam dalam nada bersahaja Api Merah itu. Sebagai seorang ketua persatuan, dia lebih terdesak berbanding yang lain untuk diumumkan sebagai orang pertama menyelesaikan Mod Sangat Sukar. Ini dapat membantu memasyhurkan nama persatuannya!
Pada mulanya, Api Merah hanya mahu memerhati sendiri kebolehan Zhang Yang untuk memilih syarat sesuai untuk memasukkannya ke dalam persatuannya. Namun, kebolehan Zhang Yang dalam Mod Sukar telah membuat dia sangat kagum. Kalau dia boleh menyelesaikan Mod Sangat Sukar, ini memang akan menjadi kejutan hebat buat Api Merah!
"Makam Bangar ialah dungeon pertama permainan video ini, jadi walaupun ia Mod Sangat Sukar, ia mungkin bukan sesuatu yang mustahil diselesaikan. Selagi kita bermain mengikut taktik, peluang kita menyelesaikan dungeon ini sangat tinggi!" Zhang Yang masih yakin dalam ucapannya.
Namun, Api Merah nampak terkejut, "Kedua-dua Tinggi Langit dan Pendominasi sedang bertarung dengan bos pertama dalam Mod Sangat Sukar dan aku dengar mereka telah ditewaskan lebih 10 kali. Bolehkah kita menyaingi mereka?"
Tinggi Langit dan Pendominasi ialah dua persatuan yang telah lama berada dalam permainan video dalam wilayah China. Kewujudan mereka yang diketahui ramai memang tidak dapat disangkal lagi dalam permainan atas talian yang lepas dengan rekod dungeon mereka yang cemerlang! Persatuan itu juga telah menghantar pemain utama mereka untuk menyertain permainan video ini selepas pelancaran 'Keajaiban Tuhan'. Walaupun Syurga yang Hilang ialah persatuan separa profesional yang ditaja, mereka boleh dianggap pesaing biasa berbanding Tinggi Langit dan Pendominasi.
Zhang Yang tersenyum dan berkata, "Kita boleh buat!"
"Aku percaya pada abang pakar!" Kematian Bersalji terus menyatakan kepercayaannya yang sekukuh batu pada Zhang Yang.
Zhang Yang menghunus pedangnya dan berkata, "Baik, sedia untuk bertarung! Gunakan posyen sebanyak mana yang kau boleh, raksasa dalam Mod Sangat Sukar sangat ganas, dan kita perlu maksimumkan DPS kita!" Dia melangkah ke depan dan menggunakan <Serangan> kepada 6 raksasa yang berdiri di jalan masuk itu. Muncul '-70' yang menunjukkan serangan normal yang terkena pada salah satu raksasa itu.
Rage meningkat kepada 21 mata dan Zhang Yang menggunakan <Sambaran Mendatar>.
"-144!"
"-159!"
"-143!"
"-900!"
"-153!"
"-148!"
"Celaka!" Hari Bayangan tidak dapat lari daripada menyumpah melihat teks kerosakan "-900" yang muncul di atas kepala raksasa itu. Bukan sahaja dia, yang lain juga turut terkejut!
Zhang Yang turut terkejut. Kerosakan teruk ini satu kebetulan yang disebabkan penggunaan <Serangan Kritikal> berserta <Serangan Bertuah> yang membawa kepada peningkatan keseluruhan sebanyak 600%!
<Serangan Bertuah> boleh menyebabkan kerosakan 3 kali ganda berbanding serangan biasa dan kadar cetusannya ditentukan oleh atribut Tuah.
Disebabkan pertahanan raksasa yang tinggi, kelas seperti Pencuri dan Pemburu yang bergantung kepada atribut Ketangkasan hanya boleh menyebabkan kerosakan biasa kerana serangan normal hanya boleh menyebabkan lebih kurang 10 kerosakan. Mereka hanya boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk dengan kemahiran menjampi, tetapi ia hanya akan menyebabkan paling tinggi 30-50 mata kerosakan. Apabila mereka melihat mata kerosakan 900 yang sangat tinggi itu, mereka semua memang terkejut.
"Zhan Yu, aku bersyukur kau bukan Pemusnah! Kalau kau guna senjata dua tangan dengan <Sambaran Mendatar> tadi, kerosakan itu boleh mencapai 1,500!" Hari Bayangan menepuk dadanya lega dan dia tidak lagi membandingkan output kerosakan dengan Zhang Yang!
Zhang Yang tertawa dan berkata, "Naikkan DPS! Makin cepat kita selesaikan ni, makin cepat kita boleh selesaikan cabaran!"
Zhang Yang tidak menyuarakan pernyataan di mana 'Tampalan Pewarisan' akan dikuatkuasakan pada masa akan datang. Selepas penguatkuasaannya, setiap kelas akan ada peluang untuk mendapatkan 'Pewarisan'. Sebagai contoh, seorang Pahlawan akan mempunyai Semangat Pemain Pedang, Orang Gasar, Dewa Perang dan lain-lain untuk Pewarisan; Semangat Pemain Pedang akan meningkatkan 30% kerosakan apabila senjata berbentuk pedang digunakan dalam serangan.
Pewarisan Dewa Perang ialah pewarisan yang paling hebat dan unik di mana hanya seorang dalam seluruh dunia yang boleh memperolehinya! Salah satu kesan Pewarisan Dewa Perang ialah ia boleh memberi Pelindung atau Pemusnah kebolehan untuk mendapatkan senjata dua tangan, senjata satu tangan yang boleh digunakan dua kali, atau perisai dalam slot!
Ini bermaksud selagi Zhang Yang dapat memperolehi Pewarisan Dewa Perang, dia masih boleh menggunakan senjata dua tangan atau senjata satu tangan yang boleh digunakan dua kali dengan serentak! Tetapi, tampalan itu hanya boleh digunakan apabila pemain telah mencapai Tahap 100. Itu sekurang-kurangnya mengambil masa setahun kemudian!
Semua orang menjadi bersemangat melihat kuasa kerosakan Zhang Yang. Setiap seorang mengenakan kerosakan sedaya yang mungkin. Mereka tahu yang mereka tidak akan setanding dengan orang hebat ini, tetapi mereka paling kurang tidak mahu kalah dengan orang lain!
Dengan pemikiran sebegitu, pasukan itu menewaskan gelombang makhluk suruhan dan akhirnya bertemu bos pertama, Cakar Hitam.
Ini kali ketiga mereka bertemu dengan bos berwajah anjing itu!
[Cakar Hitam, Raksasa Penjaga Jalan Masuk Makam] (Bos Tembaga Hijau)
Tahap : 12
HP : 72,000
Berbanding Mod Normal, HP makhluk ini berganda dan keunikannya telah meningkat daripada Besi Hitam kepada Tembaga Hijau!
"Jahanam, itu lebih daripada 70,000 HP! Gila!" Han Gemuk mengelap air liurnya dan melihat babi putih peliharaannya yang hanya mempunyai 300 HP. Dia kemudian bertanya sedih. "Yang Kecil, bolehkah aku jadikan bos ini haiwan peliharaan aku?"
"Kau fikir?" Zhang Yang mengerling ke arah Han Gemuk dan berkata, "Bos ini masih tidak begitu sukar, ia hanya mempunyai serangan yang lebih tinggi dan <Ludahan Bisa> boleh menyebabkan 400 kerosakan. Aku harap ia tidak akan kerap mensasarkan penyembuh kita!"
HP Zhang Yang telah mencapai 410 mata selepas memperolehi 'kepala anjing'. Selainnya, hanya Maharaja Api dan Kematian Bersalji sahaja yang mempunyai HP melebihi 400. Ini bermaksud ahli pasukan yang lain akan terus tewas sebaik sahaja terkena <Ludahan Bisa>.
Zhang Yang berfikir dan berkata, "Salji Lembut, tolong pastikan semua yang mempunyai 320 HP ke atas memperolehi <Perisai Suci>. Abaikan sesiapa yang mempunyai HP lebih rendah dari itu!"
Memandangkan <Perisai Suci> boleh menyerap 80 mata kerosakan, sesiapa yang mempunyai 320 HP ke atas masih boleh selamat selepas menerima <Ludahan Bisa> dengan adanya perisai itu. Namun, sesiapa yang mempunyai kurang daripada 320 HP akan mati disebabkan serangan itu walaupun dengan adanya perisai tersebut. Menggunakan <Perisai Suci> pada mereka hanya akan membazirkan MP.
"Ayuh!" Zhang Yang berjalan ke depan dan menggunakan <Serangan> kepada Cakar Hitam.
'-57!'
Pedangnya diayun dan teks kerosakan putih muncul di atas kepala bos itu.
Cakar Hitam pulih dengan cepat dan mengaum dengan kuat sambil menghayun kukunya untuk menyerang Zhang Yang.
Zhang Yang pantas mengelak sambil menghayun pedang dalam tangannya dan menggunakan serangan normal sekali lagi.
'-60!'
Zhang Yang menggunakan <Sambaran Mendatar> apabila Rage mencapai 29.
'-145!'
Zhang Yang tidak menggunakan <Hadangan> kerana kelajuan serangan bos dalam Mod Sangat Sukar itu sangat tinggi. Dia sendiri tidak dapat memastikan pencapaian 100% kadar pengelakan, jadi dia hanya akan mengaktifkan <Hadangan> apabila dia tidak mampu mengelak daripada serangan pada masa yang sesuai untuk melindungi dirinya.
'Ding! Anda telah terkena <Renungan Maut> (Tindanan 1). Semua kerosakan yang diterima meningkat 100%. Berterusan selama 12 saat!'
Tidak lama selepas itu, Zhang Yang telah ditindan beberapa <Renungan Maut>.
Mereka yang lain telahpun memulakan serangan ke atas bos itu sebaik sahaja Zhang Yang menariknya.
Ding! Anda telah terkena <Renungan Maut> (Tindanan 2). Semua kerosakan yang diterima meningkat 200%. Berterusan selama 12 saat!'
20 saat kemudian, Zhang Yang telah disasarkan tindanan kedua <Renungan Maut>! Serangan jarak dekat Cakar Hitam ialah lebih kurang 200 dalam Mod Sangat Sukar, jadi, ditambah dengan serangan balasnya, Zhang Yang telah kehilangan 600 mata kerosakan yang boleh serta-merta membunuhnya dalam satu sahaja serangan walaupun dengan 20% kemahiran pasif pengurangan kerosakan.
"Mudah?! Macam mana bos ni boleh ada kelajuan serangan setinggi ni!" ujar Hari Bayangan. Pada pendapatnya, dia sudah cukup hebat kalau dia mampu mengelak hanya satu daripada seratus serangan bos itu. Namun, nampaknya semakin laju bos ini menyerang, semakin pantas tindakan refleks Zhang Yang, seolah-olah had peningkatan teknik dan kemahirannya ialah langit!
Sebenarnya, Zhang Yang masih jauh dari mencapai potensi sepenuhnya, tetapi dengan kekangan alat kelengkapan dan Ketangkasan yang tidak mencukupi, dia hanya mampu beraksi setakat ini!
Selain Zhang Yang, ahli pasukan yang lain sangat bimbang sekiranya dia akan ditewaskan oleh bos itu pada bila-bila masa. Kebimbangan mereka menyamai mereka yang berjalan di atas tali tegang di mana sedikit kecuaian boleh memusnahkan segala-galanya!
Manusia tidak akan lari daripada melakukan kesilapan. Zhang Yang bukan robot dan dia akhirnya melakukan kesilapan kecil. Dia hanya terlewat separuh langkah!
Separuh langkah yang boleh membawa maut!
Melihat kuku yang tidak dapat dielakkan itu menuju ke arah Zhang Yang membuatkan pasukan itu kecewa. Namun, mereka akhirnya berasa lega dan terfikir - Manusia tidak akan lari daripada melakukan kesilapan, kalau tidak mereka akan dianggap Dewa!
'Ding! Anda telah menghadang serangan Cakar Hitam!'
'-39!' <Hadangan> menunjukkan kerosakan.
'-204!' <Rempuhan Perisai> berjaya menyebabkan <Serangan Kritikal>.
Zhang Yang telah menunjukkan serangan balas yang hebat di bawah pantauan mereka yang kurang mempercayainya. <Hadangan> yang sebelum ini dia simpan telah digunakan pertama kalinya dan akhirnya menghasilkan serangan yang hebat!
"Mungkinkah semua ni?" Api Merah terpegun! Dia tahu yang 2 tanker dalam persatuannya tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk mengaktifkan <Hadangan> apabila mereka gagal mengelak satu-satu serangan!
Selepas beberapa ketika menyerang ganas Zhang Yang, Cakar Hitam pusing dan meludahkan bisa hitam yang mensasarkan Ratusan Tembakan.
'Ding! Pemain Ratusan Tembakan telah mati!'
Ratusan Tembakan serta-merta dibunuh dengan 400 kerosakan yang teruk itu.
"Teruskan serangan! Kalau tidak, kita akan mati!" jerit Zhang Yang. Dia menghayun pedangnya dan terus menyerang raksasa itu.
90%, 80%... HP Cakar Hitam semakin berkurangan.
'Ding! Pemain Hari Bayangan telah mati!'
…
70%!
'Ding! Pemain Kesedihan Lautan telah mati!'
…
10%!
'Ding! Pemain Api Merah telah mati!'
Apabila HP Cakar Hitam hanya tinggal 10%, pasukan Zhang Yang hanya tinggal 3 pemain iaitu dirinya, Han Gemuk, dan Salji Lembut!
"Kau boleh!" sorak 7 pemain yang telah tewas itu.
8%, 7%, 6%, 5%!
'Ding! Pemain Si Kurus dan Kacak telah mati!'
"Gunakan semuanya, Salji Lembut, lupakan perisai dan penyembuhan, mari serang bersama-sama!" jerit Zhang Yang. Jika dia satu-satunya yang terselamat, <Ludahan Bisa> bos itu pasti akan sasarkan dia. Dia pasti dia boleh mengelaknya dalam Mod Normal atau Sukar, tetapi kelajuan pengaktifan kemahiran bos dalam Mod Sangat Sukar ini sangat tinggi. Tambahan pula, jarak antara mereka terlalu dekat dan ia mustahil untuk dielak!
Salji Lembut menurut dan terus membaca jampi <Sinaran Suci>.
4%, 3%!
'Ding! Pemain Salji Lembut telah mati!'
"Kau boleh!"
"Bunuhnya!"
"Pro, kau boleh lakukannya!"
Han Gemuk dan lain-lain sangat teruja dan menjerit sekuat hati mereka. Tiada seorang pun mahu melihat apa yang mereka sudah usahakan setakat ini sia-sia pada 1%.
2%!
1%!
Tiba-tiba, Cakar Hitam menghentikan serangan dan meludahkan bisa hitam!
"Bangsat!" Semuanya meraung di dalam hati mereka.
Zhang Yang kekal tenang dan terus menghayun pedang di tangannya dan membuat dua lagi serangan.
'-62!' Serangan Normal.
'-840!' <Sambaran Mendatar>, <Serangan Kritikal> diikuti <Serangan Bertuah>!
'Ding! Pemain Zhan Yu telah mati!'
'Ding! Pasukan anda telah membunuh Cakar Hitam!'
Dua notifikasi sistem berbunyi. Zhang Yang dan Cakar Hitam jatuh pada masa yang sama!
También te puede interesar
Comentario de párrafo
¡La función de comentarios de párrafo ya está en la Web! Mueva el mouse sobre cualquier párrafo y haga clic en el icono para agregar su comentario.
Además, siempre puedes desactivarlo en Ajustes.
ENTIENDO