Zhou Dekun mendongak ke atas dan wajahnya berkerut. "Hari semakin gelap, Meng Hao… Kita berbual setakat ini sajalah. Kau sebenarnya ada masalah besar di sini. Suku Langit Berawan yang hebat sudah mengeluarkan Suku Pertempuran mereka untuk menghapuskan kau disebabkan insiden dengan Suku Lima Racun pada tahun itu dan juga kerana Roh Syaitan kau."
Apabila dia terdengar perkataan "Suku Langit Berawan yang hebat", ini menyebabkan sinaran dingin muncul secara tiba-tiba pada mata Meng Hao. Dia tidak membalas.
"Nasib baiklah aku sebenarnya ketua kumpulan ini, jadi kau usah bimbang. Aku tak akan benarkan apa-apa terjadi kepada Adik Seguru aku." Dia menepuk dadanya dengan kuat. Zhou Dekun bukanlah muda lagi, tetapi disebabkan liku dan ranjau kehidupan, dia sudah hidup dengan agak selesa. Dia kelihatan jauh lebih muda dari usianya.
"Berapa ramai gundik yang abang ada sekarang?" gurau Meng Hao.