Descargar la aplicación
0.64% Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 5: Sebab-Musabab

Capítulo 5: Sebab-Musabab

Editor: EndlessFantasy Translation

"Hukum Kedua Termodinamik: Tenaga haba tidak boleh dipindahkan dari jasad bersuhu rendah ke jasad bersuhu tinggi tanpa mengakibatkan kesan lain, atau haba tidak mungkin boleh ditukarkan ke bentuk tenaga haba yang lain tanpa sebarang kesan sampingan, atau entropi sentiasa meningkat dalam tindak balas haba yang tidak berbalik."

Roland menulis perenggan itu dengan berhati-hati menggunakan bahasa penulisan zaman ini. Sekali imbas, tulisan itu kelihatan seperti cacing kerawit dan dia tidak faham bagaimana penduduk zaman itu boleh menghafal begitu banyak huruf yang sukar.

Jika dia ditanya hukum fizik mana yang paling menakutkan, Roland akan menjawab hukum kedua termodinamik. Hukum itu menyatakan haba akan sentiasa berpindah dari suhu tinggi ke suhu rendah, meningkatkan kebarangkalian kacau-bilau pada aturan hidup serta menambah entropi. Lambat-laun, semua ciptaan alam akan saling terhapus dan alam semesta itu sendiri akan menjadi kosong.

Namun begitu, dunia ini seperti terkecuali daripada masalah pertambahan entropi. Dalam dunia ini, kuasa sihir betul-betul wujud dan itu lebih mengagumkan lagi daripada jentera yang bergerak abadi! "Kuasa kurniaan syaitan?" Roland tergelak sendirian. "Orang-orang di sini masih tak nampak betapa hebatnya kuasa itu, yang mampu mengubah seluruh alam semesta ini."

Tidak mengapa, dia akan bermula dengan mengubah pekan yang kecil ini.

Roland menyanyi-nyanyi perlahan, mengoyakkan kertas yang baru dia gunakan untuk menulis tadi dan mencampakkannya ke dalam pendiang api. Sambil ia perlahan-lahan hangus dimakan api, Roland mula merasa nikmat kebebasan yang menyeronokkan.

Pembantu Menteri Barov rasa bingung dengan kelakuan Putera Roland, tetapi mujurlah dia sudah biasa dengan keanehan perangai si putera ini. Lagipun Barov dapat lihat angin putera itu baik.

"Ia sudah dilaksanakan Tuanku. 'Ahli sihir' itu sudah mati digantung tengah hari tadi," begitu laporan Barov.

"Bagus. Ada sesiapa yang syak apa-apa?" tanya Roland sambil menyambung tulisannya. "Nasib baik semua pesalah hukum mati akan digantung dengan memakai penutup kepala."

Roland tidak mahu sengaja mencari gaduh dengan pihak gereja serta Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir jadi dia mengarahkan warden penjara untuk mencari pesalah hukuman mati lain dengan tubuh yang menyerupai Anna dan menggantung dia bagi menggantikan Anna. Selain Ketua Kesateria dan Pembantu Menteri, semua orang yang berada di tempat kejadian semalam diberikan rasuah 20 keping emas, yang merupakan jumlah yang sangat besar bagi mereka.

Barov malah mencadangkan agar mereka membunuh semua saksi untuk memastikan tembelang mereka tidak pecah, tetapi Roland tidak menyetujuinya. Dia tahu rahsia ini tentu akan pecah juga akhirnya tetapi dia tidak kisah sebab dia memang mahu rahsia ini tersebar – cuma bukan sekarang. Lambat-laun, dia perlu bersemuka juga dengan golongan agamawan kerana dia sememangnya tidak bersetuju dengan cara mereka membazirkan sesuatu yang begitu berharga! Jika ahli sihir lain dapat tahu mereka ada tempat untuk hidup dengan bebas dan dilayan dengan baik, apa agaknya mereka akan fikir?

Walau dalam zaman apapun, bakat dan sumber manusia ialah perkara paling penting.

"Bagus," Roland menerima laporan itu. "Selepas ini Beta mahu awak memberi ringkasan catatan urus niaga, cukai, serta perbelanjaan sepanjang tahun lepas. Beta juga mahu awak mencatatkan bilangan dan saiz semua bengkel keluli, kain, dan tembikar yang ada di pekan ini."

"Patik perlukan tiga hari untuk menyediakan semua rekod itu, tapi…" Barov mengangguk pada mulanya , tetapi kemudian tiba-tiba terdiam.

"Ada apa-apa masalah?" tanya Roland, sambil mempersiapkan dirinya untuk menipu lagi. Tentu Barov ingin bertanya tentang kejadian semalam. Roland yang sebenar memang dikenali dengan perangai menjengkelkan, namun begitu ia tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak bodoh. Pada Ketua Menteri itu, menyembunyikan dan melindungi seorang ahli sihir sama dahsyat dengan mengisytiharkan perang terhadap seluruh dunia. 

"Tuanku, Patik masih tidak faham…" Barov bergelut untuk menyusun setiap patah katanya. "Tuanku pernah menimbulkan banyak masalah dahulu, tetapi semuanya masalah kecil sahaja. Tapi sekarang… Tuanku mengambil risiko yang besar hanya untuk menyelamatkan ahli sihir? Gereja sendiri yang mengeluarkan arahan untuk memburu mereka, dan ayahanda Tuanku sendiri, Baginda Raja Wimbledon III telah memperkenankannya."

Roland berfikir sebentar lalu menjawab, "Adakah awak rasa Pekan Sempadan ini pekan yang bagus untuk didiami?"

"Pekan ini? Ia…" Barov tidak faham apa kaitan soalan ini dengan masalah mereka tetapi dia tetap menjawab dengan jujur. "Tidak juga."

"Pekan ini teruk. Kalau dibandingkan dengan Valencia atau Pelabuhan Air Bening, awak rasa apa kebarangkalian Beta untuk menewaskan adik-beradik Beta demi merebut takhta ayahanda?"

"…" Pembantu Menteri Barov membuka mulut untuk bercakap tetapi tidak mampu berkata apa-apa. "Hampir tiada harapan langsung. Jadi Beta hanya boleh memilih jalan yang satu lagi," Roland memandang Barov tanpa menunjukkan sebarang emosi apabila Barov perlahan-lahan masuk ke perangkapnya. "Satu-satunya jalan yang mampu mengagumkan ayahanda beta."

Roland tidak cuba meyakinkan Barov yang bukan semua ahli sihir jahat, kerana dia tahu sia-sia sahaja dia berbuat begitu. Sudah dua puluh tahun Barov menjadi Pembantu Menteri Kewangan dan dia sudah menjadi ahli politik yang cekap. Bagi semua ahli politik, keuntungan sendiri lebih penting daripada aturan moral. Lagipun, mengikut memori Roland tentang sikap putera ini, menggunakan hujah berkaitan perasaan bukan caranya kerana dia sendiri tidak kisah berkelakuan jahat. Jadi Roland memilih untuk mempergunakan konflik berterusan antara pihak gereja dan pentadbiran sekular kerana Wimbledon III sendiri menghadapi masalah dengan Gereja Inggeris yang semakin lama semakin berkuasa.

Golongan agamawan Gereja Inggeris mendakwa semua hidupan di dunia berjalan mengikut aturan Tuhan dan Paus pula merupakan utusan Tuhan. Jika orang ramai mula mengesyaki mereka hanya berbohong semata-mata, kedudukan mereka akan mula tergugat.

Pasti sukar untuk meyakinkan Pembantu Menteri itu dengan berkata, "Ahli sihir sebenarnya tidak jahat, saya mahu selamatkan mereka semua," tetapi dengan hujah Roland "Ahli sihir sebenarnya tidak jahat, jadi saya boleh gunakan mereka untuk menyerang gereja," mungkin Barov akan bersetuju dengannya.

"Tidak kira betapa makmurnya bandar-bandar yang ditadbir adik-beradik saya, lambat-laun semuanya akan menjadi milik Gereja Inggeris. Mereka sudah mengisytiharkan hak ketuhanan raja, yang menyatakan semua raja mesti mendapat restu Paus, jadi sebenarnya siapa yang memegang kuasa mentadbir bandar-bandar itu?" Roland menarik nafas dan menyambung, "Ayah saya tentu akan menyedari saya akan membawa perubahan dalam sistem ini; seorang raja yang tidak ditindas lagi oleh Gereja dan berhak sepenuhnya untuk mentadbir sebagai seorang pemerintah dan pada masa itu, tentu baginda akan tahu siapa yang paling layak mewarisi takhtanya."

Bila Roland memutar-belit lawan mereka sebagai "Gereja Inggeris" dan bukan "seluruh dunia", barulah Barov lebih mudah menyebelahinya kerana Barov sendiri mahukan yang terbaik untuk keluarga diraja.

"Tambahan lagi, bila ayahanda Beta sedar yang ahli sihir memiliki kuasa luar biasa yang boleh membantu kita memerangi penindasan Gereja, tiada siapa akan memburu ahli sihir lagi. Memang kita tidak tahu jika ia boleh berjaya atau tidak, tapi apa salahnya kita mencuba? Awak rasa wajarkah kita membuat pertaruhan ini?" Roland merenung tepat pada Pembantu Menteri itu dan berkata, "Usah ragu dengan beta, Barov. Sudah dua puluh tahun awak menjadi pembantu Menteri, bukan? Jika Beta yang diangkat menjadi Wimbledon IV, awak mungkin tidak akan jadi sekadar 'pembantu' lagi, malahan mungkin awak boleh jadi… Wazir Diraja?"

Setelah Barov keluar dari kamarnya, Roland menghembus nafas lega. Barov tidak nampak yakin langsung dengan kata-katanya, tetapi itu sudah dijangka, kerana Roland sendiri tidak percaya dia mampu melakukan semua yang dikatakannya. Namun yang penting, dia mesti menunjukkan pada Barov betapa seriusnya dia mahu melakukan rancangan ini. Rancangan yang begitu ringkas, dirangka seorang anak raja yang terlalu biasa dimanjakan sudah jelas mencerminkan tahap kebencian Putera Roland terhadap Gereja Inggeris dan ini bakal membuka jalan untuk kedatangan lebih ramai ahli sihir.

Namun apa pula fikiran sebenar Cheng Yan? Kalau Barov tahu sekalipun, ia tidak akan tercapai oleh akalnya.

Roland memanggil orang gajinya. "Suruh Cik Anna datang menghadap beta."

"Sekarang barulah kita boleh mula kerja yang sebenar," fikir Roland dengan penuh keterujaan.


Load failed, please RETRY

Regalos

Regalo -- Regalo recibido

    Estado de energía semanal

    Rank -- Ranking de Poder
    Stone -- Piedra de Poder

    Desbloqueo caps por lotes

    Tabla de contenidos

    Opciones de visualización

    Fondo

    Fuente

    Tamaño

    Gestión de comentarios de capítulos

    Escribe una reseña Estado de lectura: C5
    No se puede publicar. Por favor, inténtelo de nuevo
    • Calidad de Traducción
    • Estabilidad de las actualizaciones
    • Desarrollo de la Historia
    • Diseño de Personajes
    • Antecedentes del mundo

    La puntuación total 0.0

    ¡Reseña publicada con éxito! Leer más reseñas
    Votar con Piedra de Poder
    Rank NO.-- Clasificación PS
    Stone -- Piedra de Poder
    Denunciar contenido inapropiado
    sugerencia de error

    Reportar abuso

    Comentarios de párrafo

    Iniciar sesión