"Apa kamu tengok-tengok? Tak puas hati ke? Tak pernah nampak orang kaya sebelum ni?"
Qian Bao terus rasa bengang bila dia nampak seorang pengemis yang duduk bertinggung di satu sudut itu sedang memerhatikannya. Dia mengayun kot luarnya yang diperbuat daripada kulit bulu rubah dan memarahi pengemis itu.
Song Tao berasa bingung. Dia mengetapkan bibirnya dan memandang Qian Bao. Dia tertanya-tanya dari mana lelaki ini dapat keberanian untuk bersikap sombong seperti itu. Walaupun rupa parasnya pada masa itu tak seberapa… dia masih seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam!
Cef pertengahan usia itu berdiri di belakang Qian Bao dan menjeling ke arah Song Tao juga. Dia melambai-lambaikan tangannya dan berkata, "Dah agak dah. Tak ramai orang datang ke restoran dekat lorong yang macam ni sebab ada ramai pengemis. Buat orang hilang selera saja."
"Tuan Zhao, kalau kamu dapat naikkan semula martabat restoran kita, aku akan berikan kamu seribu syiling emas bila kita balik nanti! Aku janji kamu akan dapat Festival Musim Bunga yang menyeronokkan!" Qian Bao mengerling ke arah Tuan Zhao dan mula tertawa. Tuan Zhao ialah salah seorang cef di Restoran Phoenix Abadi yang mempunyai kemahiran memotong paling handal.
Qian Bao tahu tak ada orang lain dalam restorannya yang mampu memasak hidangan yang setanding sajian restoran tak berhati perut itu. Walaupun dia sendiri tak pernah rasa masakan Bu Fang sebelum ini, restoran itu sudah mendapat pengiktirafan maharaja. Jadi, standard mereka pasti setanding hidangan Itik Bunga Panggang di restorannya. Disebabkan itu, sukar bagi mereka mengalahkan restoran berhati gelap itu dari segi rasa.
Dia hanya boleh cuba bersaing dengan teknik pemotongan. Oleh itu, Qian Bao membawa cef dengan teknik memotong paling handal di Restoran Phoenix Abadi.
Seribu syiling emas! Mata Tuan Zhao bersinar dan mulutnya tersengih lebih. Seribu syiling emas merupakan jumlah yang besar bagi dia. Dia perlu bekerja selama setahun untuk mendapat bayaran sebanyak itu.
"Tak ada masalah, bos! Serahkan pada saya! Saya pasti akan gunakan teknik memotong saya untuk mengerat-ngerat restoran tu! Biar dia tahu siapa sebenarnya cef!" Tuan Zhao berkata sambil mendabik dada.
"Baiklah, aku memang mengharapkan kamu." Qian Bao berkata sambil tertawa.
Selepas itu, mereka berdua berjalan melepasi Song Tao dengan rasa jijik dan menuju ke lorong itu.
Walaupun mereka tak pedulikan Song Tao, lelaki itu pula berasa sangat bengang. Di kedai berhati gelap tadi, dia sudah rasa sakit hati dengan anjing semangat agung tu. Bila dah meninggalkan kedai, ada pula dua orang bodoh yang berani berlagak depan dia. Berani mereka ejek dan layan dia seperti pengemis.
Kau pernah ke tengok pengemis yang ada kekuatan Maharaja Pertempuran kelas keenam?
Bila Qian Bao rasa ada tangan yang menekan bahunya, dia terkejut seketika. Kemudian, dia merasakan seluruh badannya dihimpit dengan satu tekanan dan dia tak dapat langsung bergerak.
"Celaka! Hei pengemis tak guna, apa yang kau cuba buat? Jangan nak cari pasal! Alihkan tangan kotor kau ni!" Bila Tuan Zhao nampak tangan Song Tao yang diletakkan di bahu Qian Bao, dia terus menjerit dan memanjangkan tangannya ke arah Song Tao.
Badan Song Tao menggigil seketika bila daya tulen meletus keluar dari badannya dan sekaligus menerbangkan salji yang menyelimuti badannya. Rambutnya menggerbang dan bajunya berkibar-kibar disebabkan ledakan daya tulennya. Matanya pula tajam seperti pisau.
Tangan Tuan Zhao menggigil dengan tak terkawal. Celaka… Macam mana seorang pengemis boleh berubah menjadi pertapa?
Song Tao menjegilkan mata ke arah Tuan Zhao dan menjerit, "Berambus!"
Suara ganasnya kedengaran seperti guruh yang berderam-derum.
Tuan Zhao mengambil beberapa langkah ke belakang kerana takut. Kedua-dua kakinya menggeletar. Auranya… sangat menakutkan.
Walaupun Tuan Zhao pun ada tahap pertapa, dia hanyalah seorang Mahaguru Pertempuran kelas kedua. Bila berdepan aura menakutkan seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam, dia hampir terkencing kerana rasa gerun.
Namun begitu, Qian Bao masih agak tenang. Dia lebih banyak pengalaman jadi perlakuannya tak seteruk Tuan Zhao.
"Insan yang kerdil ini tak dapat mengecam orang hebat seperti Tuan. Salah insan yang kerdil ini kerana menyinggung perasaan Tuan yang hebat. Saya pemilik Restoran Phoenix Abadi. Saya berhasrat menyediakan jamuan untuk Tuan sebagai tanda mohon maaf! Bolehkah Tuan bertenang..." Qian Bao berkata sambil badannya menggigil.
Song Tao hampir menampar kedua-dua orang ini sampai mati. Tapi, bila dia dengar yang Qian Bao merupakan pemilik Restoran Phoenix Abadi, dia menarik semula tangannya dan menghentikan daya tulen.
'Disebabkan mereka dari Restoran Phoenix Abadi… lupakan saja.' Fikir Song Tao.
"Hmph, kalau tak kerana kamu dari Restoran Phoenix Abadi, aku dah tampar kamu berdua sampai mati!" Song Tao berkata dengan dingin. Daya tulen yang mengelilinginya perlahan-lahan hilang dan dia kembali nampak tenang. "Aku terdengar yang kamu berdua hendak pergi ke kedai tak berhati perut tu untuk mencabar Tauke Bu. Betul tak?"
Qian Bao agak terperanjat seketika sebelum dia menganggukkan kepala dengan segera dan berkata, "Betul tu! Kami memang nak ke sana untuk mencabar Tauke Bu… Tapi, kalau Tuan tak benarkan, kami akan terus patah balik."
Walaupun Tuan Zhao rasa terseksa mengenangkan kehilangan seribu syiling emas, selepas berfikir sejenak, dia rasa yang nyawanya lebih penting. Disebabkan itu, dia pun menganggukkan kepalanya.
"Nak patah balik kenapa? Pergilah bersaing dengan dia! Kamu perlu bersaing! Lagi bagus kalau kamu bersaing dengan dia di luar!" Mata Song Tao tergerak sedikit sebelum dia tersengih.
Qian Bao dan Tuan Zhao terkejut seketika. Mereka melihat mata masing-masing. Nampaknya, pengemis ni… Oh, dia bukan dari kedai tak berhati perut tu nampaknya.
"Kamu berdua akan mencabar Tauke Bu dengan teknik memotong, bukan? Apa kata kamu tetapkan lokasi perlawanan di sini, di jalan masuk lorong ni. Bukankah nanti pertandingan itu lebih adil dan saksama?" Song Tao berkata.
"Ini… Apa bezanya? Lagi susah nak menjalankan teknik memotong dalam cuaca sejuk." Tuan Zhao merungut senyap-senyap.
"Buat saja apa aku suruh, boleh tak? Kamu ada apa-apa yang tak puas hati?" Song Tao berkata dengan dingin sambil menjeling ke arah Tuan Zhao. Dia tak berani cari pasal dalam kedai itu kerana adanya anjing semangat agung. Tapi, tak ada apa yang menghalangnya untuk berlagak sombong di hadapan dua ekor semut ini.
Qian Bao terpaksa juga menerima cadangan Song Tao. kemudian, mereka berdua menuju ke restoran Bu Fang langkah demi langkah sambil diperhati oleh Song Tao.
Song Tao rasa berpuas hati dengan kebijaksanaannya. 'Heh, memang aku tak boleh bertindak dalam restoran itu. Tapi, semuanya akan jadi mudah bila kita berada di jalan masuk lorong ini. Kalau anjing semangat agung itu masuk campur sekalipun, aku masih boleh melarikan diri! Tambahan pula, aku dapat tarik sekali dua orang budak tak guna tu!'
Qian Bao menggosokkan kedua-dua tangannya bersama dan menghembuskan nafas berwap putih sambil dia masuk ke dalam restoran Bu Fang. Saat dia masuk, dia rasa seperti masuk ke dunia yang hangat. Walaupun di luar salji turun dengan lebat, bahagian dalam restoran itu sangat hangat dan nyaman.
Satu bau harum yang kaya meresap keluar dari restoran itu. Qian Bao terus tertarik dengan bau wangi sup ikan dan kematangan bau aroma isinya. Dia tak dapat menahan diri daripada menelan air liur. Seperti yang dijangka… hanya bau Itik Bunga Panggang di Restoran Phoenix Abadi yang dapat menandingi aroma ini.
Tuan Zhao juga seorang cef. Saat dia terhidu aroma sajian itu, dia tahu yang dia akan kalah kalau mereka bertarung dari segi masakan. Dia pasti akan kalah teruk dan tak mampu melawan balik. Perbezaan tahap di antara mereka terlalu besar.
"Hmm? Kamu rupanya? Nak makan apa?" Bu Fang dapat mengecam Qian Bao. Sebelum ini, dia pergi ke restoran Qian Bao untuk mencari kelemahan masakan mereka dari tingkat satu hingga tingkat tiga. Dia mengutuk sajian-sajian mereka sehingga langsung tak ada pujian yang boleh diberikan. Jadi, dia memang dapat mengecam pemilik kedai itu dengan mudah.
Dia tak terfikir yang Qian Bao akan datang ke restorannya...
"Tauke Bu pasti masih ingat saya, betul tak? Penilaian yang Tauke Bu berikan pada masakan Restoran Phoenix Abadi memang banyak membantu. Rasa hidangan kami lebih sedap selepas diperbaiki. Tapi, bak kata pepatah, orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa. Sebab itulah… saya bawa cef nombor satu di Restoran Phoenix Abadi untuk berunding dengan kamu."
Kata-kata Qian Bao berbunyi agak gah, tapi maksud sebenarnya mudah sahaja: Kami datang untuk cari kelemahan. Disebabkan kamu sudah jumpa kelemahan aku, aku mesti membalasnya. Kalau tak, jatuhlah air muka kami!
"Berunding?" Bu Fang mengerling bersahaja ke arah Qian Bao dan Tuan Zhao yang berdiri di belakangnya. Dia memuncungkan bibirnya dan berkata, "Kalau tahap cef kamu tu sama seperti sebelum ni, saya tak akan terima. Sebabnya, kamu berdua langsung tak berkelayakan."
"Kami tak berkelayakan..." Otot-otot di muka Tuan Zhao tersentap seketika. Tapi, dia tak dapat menafikannya. Bau harum yang memenuhi udara itu menyebabkan dia hilang keyakinan.
Namun, berbanding wajah suram Tuan Zhao, Qian Bao nampak lebih tenang. Dia melihat di sekeliling kedai itu dan berkata sambil tersengih, "Tauke Bu, kami bukan datang untuk berunding tentang cara memasak. Kami datang untuk… berunding tentang teknik memotong!"
Hati Tuan Zhao tersentap seketika sebelum dia mengangkat mukanya dengan bangga dan berkata dengan angkuh, "Betul tu! Kami datang untuk berunding dengan Tauke Bu tentang teknik memotong kamu!"