Insiden dengan Zhao Ruge tak memberi kesan negatif langsung kepada kehidupan Bu Fang dan tak membuatkan dia risau.
Restoran itu dibuka seperti biasa pada keesokan harinya. Selepas memberi makan si anjing hitam malas dengan Nasi Goreng Telur, Bu Fang berbaring di kerusi dan kehidupannya diteruskan seperti biasa.
Si Gemuk Jin dan kawan-kawannya sudah tertawan selepas merasai Nasi Goreng Telur Bu Fang pada hari sebelumnya dan fikiran mereka hanya tertumpu kepada makanan sedap di Kedai Kecil Fang Fang itu. Bagi seseorang seperti Si Gemuk Jin, saiz hidangan Nasi Goreng Telur itu terlalu kecil dan tak mampu memenuhi seleranya.
Selepas dia sampai di rumahnya, dia mengarahkan cef menyediakan satu besen Nasi Goreng Telur. Namun, jika dibanding dengan Nasi Goreng Telur Bu Fang, rasa Nasi Goreng Telur cef yang diupah khas dari Jiangnan, langsung tak sedap. Selepas satu suap, dia tak mampu teruskan makan.
Warna, bau dan rasanya memang berbeza daripada Nasi Goreng Telur di Kedai Kecil Fang Fang.
Selepas menahan lapar semalaman, Si Gemuk Jin dan kawan-kawannya bergegas menuju ke Kedai Kecil Fang Fang. Orang luar pasti menyangka mereka ke sana untuk bergaduh.
"Bos Bu, selamat pagi!" Bila Si Gemuk Jin sampai di lorong itu, dia begitu gembira melihat Kedai Kecil Fang Fang sudah pun memulakan perniagaan.
Bu Fang mengecam lelaki gemuk itu. Tak ada orang lain dengan perut dan saiz badan sebegitu di dalam bandar Diraja.
Bu Fang mengangguk kepada mereka tanpa ekspresi dan berkata, "Kamu datang nak makan ke? Kamu nak pesan apa?"
"Bos Bu, hidangan kamu sedikit tapi rasa makanan kamu sangat hebat. Saya begitu lapar semalam sampai tak boleh tidur. Saya rasa tak sabar nak makan Nasi Goreng Telur kamu dan sebab itulah saya datang awal dengan kawan-kawan saya untuk makan." Si Gemuk Jin tersengih sambil masuk ke dalam kedai.
Ekor mulut Bu Fang melebar menjadi satu senyuman kekok. Dia sememangnya gembira bila makanannya dipuji.
"Tapi, Bos Bu, saya ada nasihat untuk kamu. Cuba buat menu sarapan pagi. Kamu mula berniaga awal pagi tapi kamu jual makanan berminyak. Rugilah waktu sarapan kalau begitu. Tapi sudah semestinya, Nasi Goreng Kamu tak berminyak langsung!"
Bu Fang berfikir sejenak, kemudian menganggukkan kepalanya dan berkata, "Pasti ada satu hari nanti. Tunggu saja."
Si Gemuk Jin tersenyum sambil duduk di kerusi dan berkata, "Tuan kedai, saya nak pesan semua hidangan. Saya begitu lapar dan tak tahan lagi."
Bu Fang menjawab "hmm" dengan lembut dan kemudian mengalih tumpuan kepada lelaki gemuk lain. Mereka juga turut memesan setiap hidangan seperti Si Gemuk Jin.
Bu Fang tak risau mereka akan bazir makanan. Apa yang dirisaukan, tak cukup makanan untuk mereka.
"Baiklah, sila tunggu." Selepas mengambil pesanan, Bu Fang masuk ke dapur.
Semuanya dilakukan dengan cepat dan mahir sama ada menghidupkan api, mahupun menyalakan dapur.
Dengan api marak dan kuali yang disengetkan, spatula diguna untuk mencedok Nasi Goreng Telur. Cecair telur itu masak lapan puluh peratus, menyaluti setiap butir nasi. Sambil ia dibawa keluar dari dapur, aromanya membuatkan perut lelaki-lelaki gemuk itu berkeroncong.
Apabila Bu Fang membawa keluar hidangan kedua Nasi Goreng Telur, Si Gemuk Jin sudah pun menjilat mangkuknya. Bila dia nampak Bu Fang, dia letakkan mangkuk dan angkat ibu jari tanda sedap dan berkata, "Bos Bu, ini rasa yang terbaik! Nasi Goreng Telur inilah yang paling sedap pernah saya makan seumur hidup saya! Tak sangka Nasi Goreng Telur ini merangsang daya tulen dalam badan saya. Sebab itulah harganya sepuluh kristal! Saya ingin pesan satu lagi hidangan!"
"Maaf, tapi setiap pelanggan hanya boleh pesan satu hidangan saja sehari," balas Bu Fang tanpa ekspresi.
"Bos Bu, duit tak menjadi masalah, saya tak kisah bayar lebih! Berikan satu lagi hidangan. Banyak ini tak cukup untuk isi perut saya," kata Si Gemuk Jin tersipu-sipu. Dia memang tak kisah tentang duit.
Disebabkan makanan yang sedap, duit tak jadi masalah.
"Tak, ini ialah peraturan," kata Bu Fang, dingin. Dia kemudiannya beredar masuk ke dapur, tanpa mengendahkan Si Gemuk Jin yang kesedihan.
Bila semua pesanan siap dihidang, Bu Fang mengurut bahunya yang agak lenguh sambil dia berjalan keluar dari dapur.
Si Gemuk Jin dan kawan-kawannya sudah habis makan dengan puasnya. Mereka menyapa Bu Fang seorang demi seorang dan dia mengangguk kepada mereka tanpa ekspresi.
"Jumlahnya lima puluh lima kristal dan seribu syiling emas."
"Ssss...."
Walaupun lelaki-lelaki gemuk ini banyak duit, mereka tetap menghela nafas bila mendengar harga tersebut. Hanya kumpulan orang kaya baru ini saja yang dapat membelanja duit sebanyak itu untuk sekali santapan.
"Biar aku belanja kamu semua hari ini. Kita patut datang ke sini lagi. Kita tak boleh biarkan makanan sedap ini terabai!" Si Gemuk Jin sangat bermurah hati membayar bil itu.
"Sila datang lagi." Bu Fang melihat mereka berlalu pergi dengan senyuman kekok di wajahnya.
"Tuan, tahniah kerana melengkapkan misi: keuntungan seratus kristal dan seribu syiling emas dalam seminggu," suara sistem yang terngiang di fikiran Bu Fang, menjadikan hatinya agak gembira. Dia berfikir, "Akhirnya misi ini tamat."
Namun, ekspresinya tak banyak berubah. Walaupun sistem sudah mengagihkan ganjaran, dia tidak periksa kerana masih dalam waktu operasi kedai.
Di luar kedai, satu susuk yang tinggi lampai menghampirinya.
"Selamat tengah hari Bos Bu. Berikan Beta satu hidangan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi." Putera ketiga, Ji Chengxue, berkata sambil tersenyum dan duduk.
Bu Fang mengangguk dan berkata, "Tunggu sebentar."
Kumpulan lelaki gemuk tadi mengambil masa dari pagi sehingga tengah hari untuk makan.
Apabila sahaja Bu Fang mula memasak Nasi Goreng Telur di dapur, dua lagi susuk tubuh tiba di pintu masuk.
"Tuanku ada di sini juga?" Xiao Xiaolong terkejut dengan kehadiran Ji Chengxue yang sudah berada dalam Kedai Kecil Fang Fang. Di sebelah Xiao Xialong ialah Xiao Yanyu yang memakai vel.
Daya yang terpancar pada Xiao Yanyu lebih kuat daripada sebelum ini dan cahaya terang memancar yang muncul sekali sekala dari kulitnya yang seperti jed.
"Pencapaian tahap pertapa Yanyu sekali lagi meningkat, menepati jangkaan mengenai si genius dahsyat ini yang mampu menandingi anak lelaki 'Marquis yang Melindungi Negara'." Ji Chengxue tersenyum lembut.
Xiao Yanyu memandang Ji Chengxue dan menyapa penuh hormat, "'Marquis yang Melindungi Negara' muda ini sangat berbakat dan sudah mencapai puncak Semangat Pertempuran kelas keempat pada umur lima belas tahun. Bagaimana patik nak bertanding dengannya? Tuanku terlalu memuji."
"Haha, kamu datang mahu makan? Kemahiran masakan Bos Bu memang tiada tandingan. Beta rasa dia lebih hebat dari cef Diraja," kata Ji Chengxue sambil tertawa.
Bu Fang berjalan keluar dari dapur dan di tangannya ada semangkuk porselin biru putih berisi Nasi Goreng Telur yang bercahaya. Aromanya yang kaya memenuhi setiap ruang menyebabkan Ji Chengxue dan lain-lain mabuk.
"Ini ialah Nasi Goreng Tahap Tinggi Tuanku. Selamat menjamu selera," Bu Fang berkata tanpa ekspresi.
"Bos Bu, awak ada alkohol di sini? Kalau Nasi Goreng Telur ini dipadankan dengan wain yang bagus, rasanya pasti sempurna!" Ji Chengxue melihat Bu Fang penuh harapan.
"Wain?" Bu Fang berfikiri sejenak dan mengangguk.
"Akan ada satu hari nanti. Tunggu saja."
"Bos Bu, berikan dua hidangan Nasi Goreng Tahap Tinggi dan dua hidangan Sayur Goreng," kata Xiao Xiaolong dengan teruja.
"Tunggu sebentar," Bu Fang menuju ke arah dapur. Bila sampai ke pintu dapur, dia menoleh dan berkata, "Si pondan, tak nak pesan Mi Campuran Kering sekali? Dengar cerita, Mi Campuran Kering lebih sesuai dengan pondan."
Xiao Xiaolong memandang Bu Fang tanpa ekspresi. Kalau ada pisau, dah lama dia tikam Bu Fang.
Xiao Yanyu dan Ji Chengxue terus ketawa dan tersengih lebar. Mereka tak sangka Bos Bu yang dingin dan tegas itu kelakar orangnya.
Bu Fang agak keliru. Dia hanya menyatakan fakta. Xiao Xiaolong sudah beberapa kali datang dan memesan Mi Campuran Kering, tapi setiap kali itu dia berjaya habiskan dengan ceria. Dia dan hidangan itu memang sepadan. Tanpa mengendahkan mereka, Bu Fang masuk ke dalam dapur.
Selesai mereka bertiga makan, mereka membayar bil dan meninggalkan Bu Fang. Mereka beredar dari Kedai Kecil Fang Fang dengan senyuman puas.
Pemandangan yang digemari oleh setiap cef ialah apabila pelanggan mereka beredar dengan senyuman. Seseorang yang dingin seperti Bu Fang juga tidak terkecuali.
Selepas mengemas pinggan mangkuk, masa tinggal setengah jam sebelum Kedai Kecil Fang Fang ditutup.
Bu Fang meregangkan badan dan menguap, kemudian dia berlingkar di atas kerusi dan bersandar pada pintu. Dia bercadang untuk habiskan masa dengan berehat.
Cahaya panas matahari berubah menjadi redup. Bayang-bayang bangunan di lorong itu semakin memanjang seperti lukisan minyak.
Bu Fang hampir terlelap.
"Da da da!"
Tiba-tiba, bunyi tapak kaki menyedarkan dia.
Ada satu susuk tubuh kecil dengan gaun berbunga masuk ke kedai itu dengan pantas. Dia bersandar pada dinding sambil bernafas berat sambil membongkok.
Bu Fang memandang orang di hadapannya itu tanpa sebarang ekspresi.