App herunterladen
9.55% NAGA PUSAR / Chapter 77: Hogg

Kapitel 77: Hogg

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Keesokan paginya, ketika sedang duduk di meja makan yang terletak dalam ruang makan, Linley terkejut melihat bapanya nampak berseri-seri. Dia kelihatan lebih bertenaga. Linley tidak pernah nampak bapanya dalam keadaan begitu.

Sambil meletakkan sudu dan garpunya, Hogg senyum ke arah Linley. "Linley, kali ini kamu patut tinggal di rumah lebih lama sedikit. Sudah lama rasanya Ayah tak berjumpa dengan kamu. Kita dua beranak patut menghabiskan masa bersama."

Ayahnya meminta dia untuk tinggal di rumah lebih lama?

Linley sedikit terkejut. Tambahan pula, selama beberapa tahun ini, bapanya tidak pernah menuturkan kata-kata seperti itu. Asalnya, Linley merancang untuk bersiar-siar di Kota Fenlai dan mungkin melawat Alice. Akan tetapi, mendengarkan permintaan ayahnya itu, Linley mengetepikan rancangan untuk melawat Alice itu.

"Baiklah, Ayah." Linley mengangguk gembira.

Hogg juga turut mengangguk senang. Namun sinar matanya sukar untuk ditafsir.

Kali ini, Linley tinggal selama sepuluh hari di pekan Wushan. Biarpun semester baru sudah bermula di Institut Ernst, Linley masih lagi tidak pulang. Hogg juga tidak memintanya pulang.

Di atas gunung di pekan Wushan, awan hujan berarak ke hulu ke hilir. Linley duduk dalam posisi tafakur, menapis daya sihir.

Intipati unsur tanah dan angin berpusar di sekelilingnya. Ia memasuki badannya dari semua arah dan diserap ke dalam setiap otot, tulang, salur darah, meningkatkan kekuatan tubuhnya. Sebahagiannya diserap, selebihnya ditukarkan menjadi daya sihir dan disimpan di dalam pusat tenaganya.

Seperti lautan yang dilimpahi air daripada ratusan sungai, semua aliran intipati unsur di dalam badannya akhirnya berkumpul di situ.

Sudah setengah hari Linley duduk di atas gunung itu. Sebaik sahaja Linley membuka matanya, matahari sudah pun terbenam.

'Masa untuk kembali ke sekolah.' Linley bangkit lalu menarik nafas dalam-dalam. 'Sejak saya beri teras Magicite kepada Ayah, Ayah sudah berubah menjadi lebih mesra. Ayah semakin rapat dengan saya.'

Sepuluh hari Linley menghabiskan masa di pekan Wushan merupakan sepuluh hari yang paling rapat dia rasakan dengan bapanya.

'Apakah yang menyebabkan Ayah berubah sebegitu? Teras Magicite? Aku tak rasa Ayah akan berubah hanya disebabkan wang. Mungkin… parut di badan aku?" Linley tertanya-tanya, tetapi akhirnya dia sendiri tidak berjaya menafsir perubahan sikap bapanya.

Sikap Hogg terhadap Linley menggambarkan betapa prihatin dan sayangnya Hogg terhadap Linley.

Sebaik saja dia melangkah masuk ke perkarangan manor puak Baruch, Linley nampak bapanya dengan buku di tangan. "Ayah, hari sudah lewat. Apa kata Ayah habiskan baca buku itu esok?"

"Oh, Linley dah balik." Ketawa, Hogg menutup bukunya. "Betul kata kamu. Ayah akan habiskan buku ini esok."

"Linley, selepas menghabiskan masa berlatih, kamu pasti dahaga." Hogg menuang air panas dari serahi1 teh yang terdapat di sisinya. "Nah, minum untuk legakan tekak kamu. Air ini sudah suam. Tak terlalu panas, tak terlalu sejuk."

"Terima kasih, Ayah." Hati Linley berasa hangat.

Beginilah layanan Hogg terhadap Linley sepanjang sepuluh hari dia di rumah. Sangat mesra. Sebelum ini, Hogg sangat tegas dan serius. Jarang sekali Hogg menunjukkan sisi lembutnya.

Sementera minum air, Linley berkata, "Ayah, sudah lama saya berada di rumah. Saya merancang untuk pulang ke sekolah esok."

"Esok?" Hogg terdiam seketika, seakan terkejut. Kemudian dia mengangguk. "Baiklah. Pulang awal untuk cuti sekolah hujung tahun ini."

"Baik, Ayah," jawab Linley.

Hogg berkata dengan nada lembut, "Linley, bapa kamu ini tak banyak kebolehan. Pada masa akan datang, puak kita akan bergantung harap kepada kamu. Dengan memberikan Ayah teras Magicite ini, bayaran yuran pengajian adik kamu sudah terjamin. Ayah sudah cukup berpuas hati. Akan tetapi, dalam fikiran Ayah, Ayah masih lagi memikirkan tentang penghinaan keluarga kita. Ayah harap kamu tak akan lupa bahawa barangan pusaka keluarga kita masih lagi berada dalam tangan orang lain."

Linley dapat merasai kepercayaan yang diletakkan oleh ayahnya terhadap dirinya. Dia menghela nafas dalam kemudian mengangguk kecil.

"Kini, Ayah tak punyai apa-apa keinginan lain. Ayah hanya harap sebelum ayah pergi meninggalkan dunia ini, Ayah berpeluang melihat sendiri Pedang Perang 'Penyembelih'." Suara Hogg seakan-akan tenggelam.

Linley dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Dia segera berkata, "Ayah, jangan bersedih. Ayah baru empat puluh tahun. Ayah masih ada banyak masa lagi. Saya yakin dalam masa sepuluh tahun, saya akan membawa pulang pedang pusaka keluarga kita. Saya akan meletakkannya di dalam dewan pusaka manor kita."

"Sepuluh tahun. Bagus, bagus." Hogg mengangguk perlahan.

Dua hari kemudian, selepas makan tengah hari, Linley berangkat meninggalkan pekan Wushan. Malamnya, di dewan utama manor Baruch, dua orang sedang duduk di situ. Hogg dan Hillman. Pintu dewan itu ditutup rapat dan di atas meja utama di dewan itu, terdapat sebuah karung berisi teras Magicite.

Hillman tergamam melihat satu karung yang penuh dengan teras Magicite. Akhirnya, Hogg pun bersuara. "Hillman, saya rancang untuk menjual semua teras Magicite ini. Saya serahkan syiling emas itu di bawah jagaan kamu."

Hillman segera mula tersedar kembali. Beliau segera berkata, "Tidak, Tuan Hogg. Bagaimana tuan boleh menyerahkan wang sebanyak itu kepada saya? Kenapa tuan tak mahu menguruskannya?"

"Hillman, jangan panggil saya Tuan Hogg lagi. Kamu boleh panggil saya Abang Hogg." Hogg ketawa bercanda.

Tiba-tiba, Hogg berdiri menghadap timur. "Saya, menguruskannya? Haha… Hillman, mungkin tiada orang lain yang tahu kecuali kamu tentang apa yang berlaku di dalam puak Baruch... dan tentang saya."

Hillman terkejut. Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba Hogg membangkitkan isu ini.

"Peristiwa itu terkubur jauh di sudut hati saya. Sudah sebelas tahun saya menyimpannya. Sepanjang sebelas tahun itulah, hati saya seperti dimamah semut. Saya memendamnya selama ini. Memendamnya hari demi hari, tahun demi tahun… dan dalam sekelip mata, sudah sebelas tahun berlalu."

Badan Hogg mula menggigil.

Wajah Hillman berubah. Dia juga berdiri dan berkata dengan nada terkejut, "Tuan Hogg, adakah tuan mahu…?"

"Benar, saya mahu menyiasat apa yang berlaku pada tahun tersebut. Saya mesti membalas dendam untuk Lina [Lin'na]." Wajah Hogg berubah garang dan kejam, dipenuhi dengan aura mencelakakan.

"Tuan Hogg." Hillman bergegas berkata. "Bukankah kita sudah menyiasat kejadian itu? Pihak musuh mempunyai kuasa yang sangat kuat. Kita hanya berhadapan dengan sebahagian daripada mereka. Jika tuan tetap bertekad untuk terus menyiasat, tuan hanya mencari maut."

Hogg berkata dengan suara geram, "Mencari maut? Kamu fikir saya takut mati? Hillman, kamu tak tahu betapa sakitnya saya menahan selama sebelas tahun ni. Penderaan mental yang saya lalui. Saya tak mampu untuk terus membiarkannya. Semua teras Magicite ini seharusnya bernilai 80,000 syiling emas atau lebih. Jumlah ini cukup untuk membiayai yuran pengajian Wharton. Dengan wang ini, saya tak perlu bimbang lagi."

"Selama beberapa tahun ini, saya menahan diri saya. Mengapa? Sebab kedua-dua anak saya. Sekarang, Linley sudah dewasa dan Wharton juga telah tiba di Empayar O'Brien, tiada apa lagi yang perlu saya bimbangkan."

Hogg menggenggam kuat bahu Hillman sambil merenung dua anak matanya. "Hillman, walaupun kamu memanggil saya dengan gelaran Tuan Hogg, sudah bertahun-tahun kita lalui bersama. Hubungan kita berdua lebih daripada saudara. Demi persaudaraan kita, saya harap kamu dapat membantu saya."

"Hogg, kamu…" Hillman berasa tidak keruan.

Hillman tahu apa yang akan berlaku jika Hogg tetap ingin menyiasat. Dia pasti akan kehilangan nyawa.

"Saya sudah membuat keputusan. Hillman, kamu mesti faham. Hidup yang saya jalani kini lebih teruk daripada kematian." Mata Hogg kemerah-merahan. Melihat keadaan Hogg, Hillman berasa tidak berdaya. Dia memahami perasaan Hogg.

Mengapa selama ini Hogg menjadi seorang yang tegas dan dingin?

Orang lain mungkin tidak tahu, tetapi Hillman tahu. Sebelum ibu kandung Linley dan Wharton mati, Hogg seorang yang ramah dan berfikiran terbuka. Tetapi selepas kematian Lina, karakter dan sikap Hogg mula berubah.

Walaupun Hogg memberitahu orang lain bahawa Lina meninggal semasa melahirkan anak, hanya Hillman dan Hiri yang mengetahui kebenarannya.

"Hillman, kamu tak perlu pujuk saya. Saya cuma mahu tahu satu saja, adakah kamu sudi bantu saya ataupun tidak?" Hogg menatap mata Hillman.

Dalam tatapa Hogg, akhirnya, Hillman melepaskan keluhan panjang. "Baiklah, saya akan bantu." Senyuman memekar di wajah Hogg. Senyuman lega dan kebebasan.

  1. Botol yang panjang lehernya.

Load failed, please RETRY

Geschenke

Geschenk -- Geschenk erhalten

    Wöchentlicher Energiestatus

    Rank -- Power- Rangliste
    Stone -- Power- Stein

    Stapelfreischaltung von Kapiteln

    Inhaltsverzeichnis

    Anzeigeoptionen

    Hintergrund

    Schriftart

    Größe

    Kapitel-Kommentare

    Schreiben Sie eine Rezension Lese-Status: C77
    Fehler beim Posten. Bitte versuchen Sie es erneut
    • Qualität der Übersetzung
    • Veröffentlichungsstabilität
    • Geschichtenentwicklung
    • Charakter-Design
    • Welthintergrund

    Die Gesamtpunktzahl 0.0

    Rezension erfolgreich gepostet! Lesen Sie mehr Rezensionen
    Stimmen Sie mit Powerstein ab
    Rank NR.-- Macht-Rangliste
    Stone -- Power-Stein
    Unangemessene Inhalte melden
    error Tipp

    Missbrauch melden

    Kommentare zu Absätzen

    Einloggen