Jun Wu Xie mengecilkan matanya. Tindakan aneh Wen Yu itu hanya bermula sebaik terlihat cincin di tangan Jun Wu Xie.
Maharaja dan Penasihat Agung. Kedua-duanya begitu bimbang tentang cincin yang dipakainya.
Tapi satu perkara yang Jun Wu Xie amat pasti, Wen Yu tidak ada permusuhan dengannya.
"Kenapa Penasihat Agung kata begitu?" Jun Wu Xie dapat merasakan Wen Yu berkias tentang sesuatu namun pada saat itu dia tidak dapat memikirkan sebabnya.
Wen Yu memandang wajah kecil Jun Wu Xie. Dia tidak mahu terlibat dalam hal ini. Namun budak Jun Xie ini agak rapat dengan Lei Chen. Wen Yu juga mendapati dia suka dengan mata Jun Xie yang kelihatan amat bijak walaupun dingin dan kurang mesra. Mata itu bukan milik seseorang yang akan menyembunyikan niat jahat terhadap orang lain.
"Kenapa? Tuan Muda Jun tak mahu lebih cepat bertemu semula dengan keluarga?"
Pada ketika itu, mata Jun Wu Xie menjadi muram.
[Bertemu semula dengan keluarga?]
[Mengapa pula dia tak mahu buat begitu? Segalanya yang dia lakukan adalah untuk berhenti berada dalam keadaan pasif ini. Supaya dia dapat kembali ke Kerajaan Qi, ke Istana Lin, tanpa sebarang kebimbangan.]
Wen Yu mengesan kemuraman di mata Jun Xie dan dia sedar mungkin dia telah tersilap cakap. Wen Yu cepat-cepat berkata, "Maafkan saya kerana tersilap cakap. Tapi mengikut apa yang saya dengar, sewaktu Tuan Muda Jun berada di Ibu Negeri Diraja untuk menyertai Kejohanan Pertempuran Roh, kamu agak banyak terlibat dengan masalah. Nampaknya tempat ini tak sesuai untuk Tuan Muda Jun. Bagi mengelakkan lebih banyak hal tidak elok berlaku pada kamu di sini, lebih baik Tuan Muda Jun pergi lebih cepat."
"Lebih banyak hal tak elok? Hal macam mana pula tu?" tanya Jun Wu Xie. Dia memandang tepat pada Wen Yu, cuba mencari lebih banyak petunjuk daripada riak wajah lelaki itu. Namun Wen Yu tidak menunjukkan sebarang riak wajah yang aneh.
Wen Yu ketawa ringan, "Saya harap Tuan Muda Jun dapat bertolak pulang tak lama lagi kerana waktu pun sudah semakin lewat ni. Kalau kita tak balik ke jamuan sekarang, jamuan itu akan berakhir. Tuan Muda Jun nak kembali ke jamuan itu bersama-sama saya?"
Jun Wu Xie mengangguk dan mereka berdua berjalan kembali ke dewan jamuan.
Keadaan di jamuan itu masih sama. Alunan muzik masih dimainkan, para penari juga memberikan persembahan yang hebat dengan gerakan gemalai dan tubuh mereka yang meliuk-lentuk.
Jun Wu Xie berjalan masuk ke dewan utama istana itu bersama-sama Wen Yu. Maharaja yang kelihatan sedang berfikir mendalam dengan wajah yang berkerut, mengangkat kepala apabila terlihat dua susuk tubuh berjalan masuk ke dalam dewan. Jantung baginda hampir melompat keluar!
"Tuanku," sapa Wen Yu sambil membongkok sedikit.
Wajah Maharaja tiba-tiba menjadi kaku tetapi baginda cepat-cepat menenangkan diri. Baginda memaparkan senyuman mesra seperti biasa lalu berkata, "Beta baru saja terfikir ke mana perginya Penasihat Agung, kamu dah pun kembali ke sini bersama-sama Jun Xie. Tapi di mana Lei Fan? Tadi Lei Fan pergi bersiar-siar di Taman Diraja bersama-sama Jun Xie. Kenapa pula Jun Xie kembali sendirian?"
Wen Yu membalas, "Patik merasakan bulan kelihatan sangat cantik malam ini dan tiba-tiba terasa mahu bersiar-siar di Taman Istana. Tetapi sewaktu tiba di sana, patik terlihat Putera Keempat sedang gering dan terbaring di atas tanah. Jadi Patik arahkan para pengawal untuk bawa Putera Keempat pulang manakala Patik pula mengiringi Jun Xie kembali ke jamuan ini. Patik risau Jun Xie tak tahu jalan pulang ke sini, jadi Patik ikut bersama-sama dengannya."
Sebaik mendengar Lei Fan tidak sihat, wajah Maharaja terus kelihatan risau, "Lei Fan gering? Apa yang berlaku?"
"Patik tak tahu. Tapi Patik dah arahkan para pengawal menghantar Putera Keempat ke Istana Maharani. Memandangkan Tabib-tabib Diraja yang menjaga Putera Keempat sejak kecil ada di Istana Maharani, Patik percaya, Tuanku Putera Keempat tak akan apa-apa," balas Wen Yu.
Walaupun kata-kata Wen Yu bertujuan untuk menenangkan baginda, Maharaja yang amat risaukan kesihatan Lei Fan tetap kelihatan agak gelisah.
"Malam pun sudah semakin lewat. Para tetamu sekalian bolehlah pulang awal untuk berehat." Maharaja tiba-tiba tertekan dan mengeluarkan perintah bersurai.
Semua tetamu tidak berkata apa-aa dan terus bangun untuk pergi dari situ.
Lei Chen mengiringi Jun Wu Xie dan yang lain keluar dari Istana Diraja. Sewaktu berdiri di pintu gerbang istana, matanya merenung kereta-kereta kuda dari Akademi Zephyr.
Kepada para pembaca,
Telah diputuskan bahawa terjemahan buku ini akan dihentikan. Terima kasih kerana bersama-sama dengan kami dalam pengembaraan yang indah ini dan semoga berjaya kepada anda semua dalam masa yang mencabar ini. Jumpa lagi!