"Tentera Rui Lin?" Fan Jin tiba-tiba mengangkat kepalanya. Dia memandang Ye Sha dengan perasaan tidak percaya.
"Tentera Rui Lin tu apa?" Qiao Chu kelihatan bingung. Dia tidak faham kenapa Fan Jin memberikan reaksi sebegitu.
Fan Jin merenung Qiao Chu. Kemudian dia perasan yang Hua Yao serta rakan-rakannya yang lain juga sama bingung. Fan Jin bertanya dengan tidak percaya, "Kamu tak pernah dengar tentang Tentera Rui Lin?"
Qiao Chu mengangguk.
"Tentera Rui Lin merupakan satu pasukan serangan yang amat kuat di Kerajaan Qi. Kerajaan itu hanyalah satu kuasa yang teramat kecil dan wujud di kalangan pelbagai negara besar yang lain. Tanah mereka juga dianggap hanya sekangkang kera. Rakyat negara itu juga tidak ramai dan tidak setanding dengan negara-negara lain yang mengelilinginya. Tetapi Kerajaan Qi masih mampu bertahan dengan kuasa-kuasa lain yang lebih kuat daripadanya hanya kerana mereka memiliki Tentera Rui Lin. Pasukan tentera ini tidaklah besar dan menurut khabar angin, anggotanya hanya berjumlah seratus ribu orang. Namun setiap anggotanya memiliki kekuatan dan kuasa luar biasa. Tidak kira kuasa mana sekalipun yang bertembung dengan mereka di medan peperangan, setiap yang terselamat pasti akan mengalami mimpi ngeri selepas itu." Fan Jin memang mengagumi kekuatan pasukan tentera yang tegas itu dan sudah banyak yang dia dengar tentang Tentera Rui Lin yang amat terkenal itu.
Boleh dikatakan kemasyhuran Tentera Rui Lin bersinar lebih terang di luar berbanding di dalam Kerajaan Qi sendiri.
"Kuasa dan kemahiran luar biasa? Roh berkontrak mereka semuanya memang berada di gred tinggi?" tanya Qiao Chu dengan perasaan ingin tahu.
Fan Jin menggelengkan kepalanya.
"Askar-askar Tentera Rui Lin terkenal bukan kerana mereka memiliki kekuatan rohani yang luar biasa ataupun roh berkontrak yang hebat. Apa yang menyebabkan mereka terkenal sebagai pasukan serangan paling ganas ialah semangat yang mereka bawa sewaktu berada di medan perang. Mereka tidak tahu berundur atau mengalah. Semua orang mengatakan askar-askar ini memiliki roh yang telah berjuang bermati-matian. Tidak ada seorang pun yang akan berasa gerun dan akan menentang dewa kematian. Di dalam peperangan antara negara, kekuatan seorang lelaki itu akan membataskan pencapaiannya. Tetapi apabila lelaki-lelaki ini membentuk pasukan yang bersatu padu dan tidak takut menempah maut, mereka akan menjadi pasukan serangan yang paling hebat, senjata terunggul. Kamu tahu tak? Sewaktu Kerajaan Qi mula-mula ditubuhkan, sewaktu pertempuran pertama mereka dengan satu kerajaan musuh, tentera ini mengambil kedudukan di barisan hadapan. Ketika itu jumlah anggota Tentera Rui Lin ialah tiga ratus ribu! Selepas pertempuran itu, anggota mereka hanya tinggal kira-kira lapan puluh ribu! Kesemua askar berjumlah dua ratus ribu lebih itu tidak berundur walau selangkah sewaktu pertempuran itu. Mereka teguh menggunakan keringat dan darah mereka untuk menentang musuh dan melindungi setiap inci tanah air mereka!" Fan Jin menceritakan semua in dengan penuh bersemangat, seolah-olah dia telah menyaksikan sendiri pertempuran yang menggerunkan itu.
"Tahu tak? Tentera musuh yang menentang Tentera Rui Lin itu berjumlah satu juta orang! Askar seramai satu juta! Nisbahnya kira-kira tiga melawan satu. Namun mereka tetap berdiri teguh dan menakutkan tentera musuh sehingga berundur. Sejak itu, negara musuh ini tidak berani mendekati sempadan Kerajaan Qi lagi! Keteguhan semangat yang tidak mudah luntur itu telah menundukkan musuh. Kejayaan Kerajaan Qi ini dibeli dengan darah lebih dua ratus ribu askar Tentera Rui Lin!"
Qiao Chu dan yang lain mendengar dengan tekun. Mereka tak banyak tahu tentang Alam Bawahan. Jadi mereka tidak begitu arif tentang hal-hal pelbagai negara serta bala tentera negara-negara ini. Mereka hanya fokus menguatkan diri dan mencari makam Maharaja Kegelapan. Ini akan membolehkan mereka mendapat kekuatan yang cukup untuk menentang Dua Belas Istana dan membalas dendam.
Mereka langsung tidak tahu bahawa di tempat di mana mereka sudah tinggal bertahun lamanya, ada sekumpulan lelaki yang berani. Lelaki-lelaki ini bersemangat waja, berani mencemuh dewa kematian dan lebih sanggup mati daripada lari dari musuh. Semuanya semata-mata demi melindungi tanah air serta orang-orang mereka!
Pemuda-pemuda ini semuanya berada di usia di mana semangat remaja mereka berkobar-kobar. Semuanya mendapat inspirasi dari kisah hero-hero yang gagah berani ini.
Pada ketika itu, sebelum mereka bertemu dengan askar-askar Tentera Rui Lin ini, hati mereka sudah pun tersemat perasaan hormat pada pasukan serangan yang paling terkenal dan ganas di seluruh Alam Bawahan.
Hanya Jun Wu Xie yang terkecuali. Dia mendengar cerita Fan Jin dengan senyap sambil menundukkan pandangannya.
Semua orang tahu Tentera Rui Lin itu berani dan kuat. Tetapi mereka tidak tahu yang kadar kematian komander-komander Tentera Rui Lin ialah yang paling tinggi. Dalam setiap pertempuran, komander-komander Tentera Rui Lin sentiasa mengetuai orang-orang mereka dan selalunya berada di barisan hadapan.
Kerajaan Qi terlalu kecil dan rakyatnya juga lemah. Sebab itulah mereka tidak boleh kalah.
Sebaik mereka kalah, ini bermakna seluruh kerajaan itu akan musnah!