Download App
8.43% NAGA PUSAR / Chapter 68: Pisau Belati Hitam (Bahagian 2)

Chapter 68: Pisau Belati Hitam (Bahagian 2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Lelaki berpakaian hitam itu kini berada lima hingga enam meter dari Linley. Dia menyedari kehadiran Tikus Bebayang kecil di bahu Linley, tapi wajah dinginnya kelihatan begitu terkejut apabila melihat kelajuan mengagumkan Bebe. "Kelajuan apakah ini?!" Lelaki itu terus menghayun pisau belatinya untuk menangkis.

Jelas sekali, lelaki berpakaian hitam ini lebih kuat daripada pembunuh upahan pertama. Sekurang-kurangnya, apabila dia berhadapan dengan Bebe, dia masih terfikir untuk segera mengeluarkan pisau belatinya.

*Swish!* Bebe menghayun kukunya yang tajam dengan ganas.

*Dentang!*

Setelah kuku Bebe mengenai pisau belati pembunuh upahan itu, senjatanya itu pecah berderai menjadi serpihan-serpihan kecil. Sementara itu, kuku Bebe yang langsung tidak terjejas terus dihayunkan ke kepala pembunuh upahan itu, serta-merta membunuhnya.

'Jurang antara kuasa tahap enam dan tahap tujuh memang sangat besar.' Linley tidak boleh menahan dirinya daripada mengeluh setelah melihat adegan sebentar tadi.

Bebe ialah seekor Tikus Bebayang menggerunkan. Ia mampu memaksa Naga Veloci, makhluk ajaib tahap tujuh yang amat berkuasa itu, melarikan diri. Jika dinilai daripada kuku dan gigi yang tajam milik Bebe, membunuh seorang pahlawan tahap enam amat mudah baginya, semudah memakan nasi.

'Mati kau!' Linley berlari ke arah mayat itu lantas mengoyak pakaiannya. Dia segera mencapai beg galas lelaki itu. Tanpa berlengah, dia terus berpaling dan melarikan diri ke arah utara. Badai angin muncul di kakinya. Dia mula bergerak dengan begitu tangkas dan lincah tanpa meninggalkan sebarang jejak.

Selepas seketika, kumpulan kedua lelaki berpakaian hitam tiba di tempat kejadian. Melihat kecederaan di kepala #2, dahi mereka semua berkerut.

"Makhluk ajaib?" Satu demi satu gambaran makhluk ajaib yang berbeza berenang-renang dalam minda semua lelaki itu. "Tikus Bebayang Biru tahap enam? Atau Tikus Bebayang Ungu tahap tujuh? Atau Tikus Pemakan Batu Emas tahap tujuh?" Kuku kecil yang tajam ini pasti datangnya dari makhluk ajaib jenis tikus.

Dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, sesetengah orang percaya perkara yang paling menakutkan ialah apabila bertembung dengan makhluk ajaib tahap lapan atau sembilan. Mereka yang lain pula percaya, yang paling menakutkan ialah apabila terserempak dengan makhluk ajaib yang bergerak secara berkumpulan. Akan tetapi, dalam hati mereka yang berpakaian serba hitam ini, perkara yang paling mengerikan ialah pertembungan dengan sekumpulan Tikus Pemakan Batu atau sekumpulan Tikus Bebayang.

Tikus Pemakan Batu mempunyai pertahanan yang sangat kukuh, gigi serta kuku yang tajam.

Manakala, Tikus Bebayang pula mempunyai kelajuan yang tinggi, gigi dan kuku yang tajam.

Jika puluhan ribu mahupun ribuan Tikus Bebayang atau Tikus Pemakan Batu menyerang secara berduyun-duyun, seangkatan tentera pun akan habis dibaham apatah lagi mereka yang kurang dari sepuluh anggota.

"Kita patah balik sekarang!" Ketua kumpulan itu terus memberi arahan tanpa teragak-agak.

Linley terus berlari merentasi gunung-ganang dan rabung, meneruskan perjalanan hingga ke puncak gunung. Selepas melarikan diri sehingga beratus-ratus kilometer tanpa henti, baru Linley yakin mereka yang mengejar pasti tidak akan dapat menangkapnya.

'Bos, cepat buka beg galas ini dan tengok apa yang ada di dalam!' desak Bebe.

Hati Linley juga tertanya-tanya. Lebih kuat pihak lawan itu, lebih banyak teras Magicite yang akan berada di dalam beg galasnya. Pembunuh upahan pertama telah meninggalkan teras dan permata Magicite yang bernilai 15,000 syiling emas. Bagaimana pula dengan pembunuh upahan kedua, yang mereka panggil #2?

Dia membuka beg itu.

"Dua set pakaian bersih." Linley melihat baju bersih dalam beg itu dan mengeluarkan dua kantung yang membonjol dari dalam beg galas itu. Lelaki #2 ini pasti telah berada lebih lama di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib dan lebih kuat daripada pembunuh upahan pertama. Jadi, secara logiknya…

Linley tergamam apabila melihat begitu banyak teras Magicite yang berada dalam kedua-dua kantung itu.

"Banyaknya. Kebanyakannya ialah teras Magicite tahap lima. Teras Magicite tahap enam pun banyak." Selepas melihat begitu banyak teras Magicite, Linley kini mampu mengenali tahap satu-satu teras Magicite dengan hanya sekali imbas. Linley mula mengira dengan teliti jumlah semua teras itu.

'Sembilan teras Magicite tahap enam. 56 teras Magicite tahap lima. 12 teras Magicite tahap empat. Tujuh permata Magicite. Semuanya berjumlah di sekitar… 20,000 syiling emas. Tambah dengan 50,000 yang aku ada sekarang bermaksud pada aku sekarang, ada sekurang-kurangnya Magicite yang bernilai 70,000.' Linley sekali lagi tergamam.

70,000 syiling emas!

Jika dia meletakkan jumlah yang begitu banyak ini di hadapan ayahnya, ayahnya pasti akan terpana.

Sepanjang 51 hari dia berada di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib, organisasi pembunuh upahan ini sahaja telah 'mendermakan' 35,000 syiling emas kepadanya. Pembunuh lain yang telah bertembung dengan dirinya juga telah 'mendermakan' 30,000 syiling emas lagi. Manakala dirinya sendiri telah membunuh beberapa makhluk ajaib yang bernilai 5,000 syiling emas.

Doehring Cowart memunculkan diri dari cincin Naga Pusar. Dia ketawa selepas melihat raut wajah Linley.

"Saya baru faham kenapa begitu ramai orang mahu membunuh orang lain dalam Banjaran Gunung Makhluk Ajaib. Selepas menghabiskan masa selama sebulan bekerja keras, saya hanya beroleh beberapa ribu syiling emas. Akan tetapi, bila saya bunuh seseorang, saya beroleh hasil kutipan terkumpul dari mereka yang sebanyak dua bulan." Linley meletakkan dua kantung itu ke dalam beg galasnya sendiri. Dia kemudian membuang beg galas milik #2 itu ke atas rumput.

"70,000 syiling emas daripada nilai teras Magicite, hanya 5,000 yang berjaya saya kumpul sendiri daripada membunuh makhluk ajaib. Yang lain semua datang dari pembunuh upahan dan pembunuh." Linley menggelengkan kepala dan mengeluh.

Doehring Cowart mengurut janggut putihnya sambil ketawa kecil. "Nampaknya muka jambu kamu banyak membantu. Jika kamu kelihatan lebih matang dan berpengalaman sedikit, mungkin tidak ramai pembunuh yang mencuba tuah untuk membunuh kamu."

"Hehe." Linley tidak boleh menahan diri dari turut ketawa.

"Atuk Doehring, berdasarkan perbualan antara mereka yang berada dalam skuad itu tadi, nampaknya mereka juga sedang menjalani misi latihan di sini, di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib?" tanya Linley, ingin tahu.

Doehring Cowart tersenyum nipis. "Linley. Setiap kuasa besar di benua Yulan mempunyai kekuatan ketenteraannya yang tersendiri untuk mengekalkan pengaruhnya. Tetapi kekuatan ketenteraan ini perlu dilatih dan dipupuk. Banyak kuasa besar selalunya akan menghantar sekumpulan orang bawahannya ke Banjaran Gunung Makhluk Ajaib untuk berlatih."

Linley mengangguk.

"Linley, benua ini mempunyai banyak organisasi berkuasa yang kamu tidak tahu pun kewujudannya. Secara jujur… Atuk pun tak tahu tentang mereka. Dalam masa lima ribu tahun, semua kuasa yang pernah wujud semasa Empayar Pouant mungkin telah musnah sama sekali," kata Doerang Cowart, seperti menghina dirinya sendiri.

Linley tidak bertanya banyak. Pada masa ini, Linley berasa satu tekanan yang besar apabila mengetahui benua Yulan ini lebih rumit dari apa yang dia sangka.

Selepas menyusun barangnya, Linley menyarung sehelai baju ke tubuhnya dan meneruskan perjalanan. Dia terus menuju ke hadapan sambil mengharungi perjalanannya dengan lincah merentasi hutan gunung. Adakalanya, dia melompat ke atas batu yang jatuh, kadangkala merangkak di bawah pokok yang tumbang. Linley meneruskan pengembaraannya. Namun begitu, selepas mendaki sebuah gunung yang sangat tinggi…

Dia akhirnya dapat melihat unjuran gunung ini mencecah ratusan kilometer panjang. Pokok-pokok tumbuh melata di sini. Sambil berdiri di puncak gunung itu, Linley boleh mengagak jarak dari sini ke puncak seterusnya ialah beberapa ratus kilometer, jika dia mahu terus terbang ke sana.

"Anehnya ngarai ini."

Linley perasan yang jarak antara dinding ngarai ini semakin sempit apabila ia semakin ke hujung. Linley terus berlari anak menuruni puncak gunung itu. Lebih jauh dia berlari, lebih dekat jarak antara dinding ngarai itu. Selepas berlari anak sejauh lima hingga enam kilometer, jurang antara dua gunung itu kini hanya satu meter. Seseorang boleh melangkah untuk melintas antara dua dinding ini.

"Jika keadaan bahagian ini begini, bagaimana pula di sebelah sana? Adakah sama?"

Dengan satu kaki di setiap satu tebing, Linley menjenguk ke hujung. Di kejauhan, dia boleh melihat dua tebing itu semakin menghampiri satu sama lain dan akhirnya bersatu.

"Aneh. Aneh."

Setelah lama berada di pergunungan ini, Linley telah melihat banyak benda. Tapi dia tidak pernah melihat benda pelik seperti ngarai ini. Melihat ke bawah celahan ngarai itu, Linley hanya nampak kabus putih. Terlalu kabur sehingga dia tidak boleh melihat apa-apa menerusinya.

"Terlalu dalam." Linley berasa sangat ingin tahu, tapi lebih risau dengan apa yang berada di kaki ngarai ini.

Sambil meneruskan perjalanan ke sepanjang tebing ngarai itu, Linley terus menerus menjenguk ke bawah dengan harapan boleh melihat apa yang tersembunyi di balik kabus putih itu. Selain daripada jarak antara dua dinding ngarai ini yang sangat kecil, tiada perkara pelik lain di gaung ini.

Sebagai contoh, di permukaan gaung, jarak antara dua dinding ngarai ini mungkin seratus meter. Tapi Linley boleh mengagak, semakin jauh ke dalam, jaraknya boleh menjangkau beberapa ribu kilometer. Malah, boleh mencapai ratusan kilometer.

"Eh? Itu…"

Linley kelihatan seperti dipanah petir. Dia merenung dengan teliti tompok-tompok rumput yang tersembunyi di balik kabus putih itu. Barisan rumput yang hidup di sepanjang tebing gaung itu berwarna hijau tua tapi memancarkan aura biru berbalam-balam.

"Rumput Biru Hati. Itu Rumput Biru Hati!" Linley pernah melihat gambar Rumput Biru Hati di perpustakaan Institut Ernst dan imej itu masih jelas dalam ingatannya. Matanya bercahaya. Rumput yang hidup di tepi gaung ini sangat jarang ditemui dan sangat berharga. Ia mampu melawan kesan berbahaya darah naga hidup kepada tubuh badan manusia. Rumput Biru Hati!


Load failed, please RETRY

Gifts

Gift -- Gift received

    Weekly Power Status

    Rank -- Power Ranking
    Stone -- Power stone

    Batch unlock chapters

    Table of Contents

    Display Options

    Background

    Font

    Size

    Chapter comments

    Write a review Reading Status: C68
    Fail to post. Please try again
    • Translation Quality
    • Stability of Updates
    • Story Development
    • Character Design
    • World Background

    The total score 0.0

    Review posted successfully! Read more reviews
    Vote with Power Stone
    Rank NO.-- Power Ranking
    Stone -- Power Stone
    Report inappropriate content
    error Tip

    Report abuse

    Paragraph comments

    Login